Novel Interlok patut dibaca - Baradan
Kontroversi novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dapat dielakkan sekiranya konteks penggunaan perkataan 'paria' dalam novel berkenaan dijelaskan dengan tepat kepada umum.
Bekas wartawan akhbar The Star, K. Baradan berkata, novel itu patut dibaca, tidak diharamkan atau dibakar hanya kerana beberapa pemimpin India merasa terhina dengan penggunaan sistem kasta 'paria' dalam novel berkenaan.
"Bantahan yang dilakukan pemimpin berkenaan kerana perkataan paria digunakan merujuk orang India yang diambil dari bahagian India Selatan.
"Dalam novel tersebut, ia merujuk kebanyakannya (orang India) dari eselon-eselon rendah sistem kasta agama Hindu yang bekerja membersihkan hutan-hutan dan memulakan ladang getah yang menguntungkan penjajah," katanya dalam ruangan pendapat terbitan akhbar The Star, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai polemik Interlok yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia Tingkatan Lima bermula tahun ini.
Penggunaan novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan bersikap perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), kelmarin.
Menurut Baradan, menerusi novel tersebut, umum akan mengetahui bagaimana masyarakat pelbagai budaya di negara ini wujud dengan permulaan masyarakat kolonial serta ketibaan orang India dan buruh-buruh Cina di negara ini.
"Novel ini patut dibaca oleh semua rakyat Malaysia, bukan hanya digunakan dalam kesusasteraan Tingkatan Lima sahaja. Ia memberitahu cerita mengenai Malaysia dan bagaimana negara dilahirkan melalui mata tiga watak utama iaitu Seman, Chin Huat dan Maniam," katanya.
Katanya, Interlok adalah satu bacaan wajib untuk semua rakyat Malaysia kerana ia mengingatkan tentang kepelbagaian kaum di negara ini.
"Ia bukan bertujuan menghina mana-mana kaum di negara ini baik Melayu, Cina mahupun India tetapi ia menceritakan perkara yang berlaku 150 tahun yang lalu," jelasnya.
Baradan berkata, penulisan Abdullah jujur dan ikhlas dalam memberi gambaran lengkap mengenai pengalaman bagaimana orang India dan lain-lain tiba di negara ini.
"Beliau tidak seharusnya dipersalahkan," katanya.
Beliau turut mengulas mengenai langkah Kementerian Pelajaran menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji perenggan berkenaan perkataan 'paria' di dalam novel berkenaan.
"Perkataan itu tidak perlu dibuang kerana dalam konteks tersebut ada menerangkan walaupun orang India telah melalui hidup yang sukar, mereka mencari keselesaan bersama dengan berkongsi kesengsaraan, harapan, satu bahasa, asal usul (India Selatan) dan juga kasta.
"Ia bukannya menjadi satu isu untuk digunakan sebagai bacaan kesusasteraan Tingkatan Lima sekiranya konteks ini diterangkan dengan betul kepada pelajar, guru dan orang ramai yang membaca, termasuk ahli-ahli politik India," ujarnya.
- UTUSAN