Program Realiti TV Dana Belia 1Malaysia Diterbitkan April Ini
Ketua Panel Penilai DB1M Khairy Jamaluddin berkata menerusi program ini para belia yang mahukan supaya idea mereka dibiayai oleh dana itu berpeluang untuk memberitahu masyarakat mengenai matlamat projek mereka.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata panel penilai akan membuat pemerhatian menyeluruh terhadap pemohon yang menghantar kertas cadangan mengenai idea mereka untuk memastikan projek itu dijayakan mengikut perancangan, dan menurutnya program itu dijangka akan ditayangkan kepada orang ramai April ini.
"Kami masih merancang format program itu sebelum diterbitkan, tetapi kami mahu supaya para belia tahu mengenai tabung ini dan turut menggunakannya," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Dana Belia 1Malaysia di sini, Jumaat.
Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta yang bergerak di bawah syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd itu, dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, sebagai satu pencetusuntuk membuka ruang kepada golongan belia menggunakan kreativiti bagi membawa manfaat kepada masyarakat.
"Para belia ini akan ditemuduga untuk menilai kreativiti mereka berbanding kertas cadangan yang diberikan, bagi memastikan projek yang dirancang itu betul-betul berkualiti dan memberi faedah," katanya.
Khairy berkata para belia berumur 15 hingga 40 tahun boleh menghantar idea mereka melalui laman web www.1mdb.com.my/danabelia dan mereka akan dimaklumkan sama ada panel penilai berminat dengan cadangan mereka atau sebaliknya.
Katanya para pemohon kemudiannya diminta menghantar kertas cadangan untuk diteliti panel sebelum dipanggil untuk penilaian selanjutnya.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa semua pemohon akan mendapat jawapan dari panel penilai yang akan memaklumkan sama ada permohonan mereka berjaya atau tidak.
Khairy berkata projek pertama yang akan dibiayai DB1M itu akan diketahui dalam tempoh empat hingga enam minggu lagi.
- BERNAMA