Siti Nurhaliza cabar diri jadi hos TV


Selepas menjengah usia 15 tahun kembara seninya, hanya kini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin punya keberanian untuk meluaskan sayap pada bidang lain. Mengorak setapak lagi, dia menguji kebolehan diri untuk bergelar pengacara sempena pembuka tirai 2011.

Tidak sesekali berselindung, artis berprofil tinggi itu mengaku dia sebelum ini pernah beberapa kali dihampiri kesempatan untuk mengemudi program. Namun ditolak dengan alasan belum bersedia.

Seiring pantas putaran waktu, belahan jiwa kepada Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa itu sekarang tampil penuh gaya di atas pentas pengacaraan pada program bual bicara sendiri - Siti. Ia akan bersiaran di Astro Ria (saluran 104) setiap Sabtu dan Ahad pukul 9 malam bermula 12 Februari ini.

Mengaku masih kekok dengan kerjaya barunya itu, dia tergerak hati untuk mencuba profesion baru selepas sudah mempersiapkan diri secara mental dan fizikal.

“Selain berjinak dalam bisnes, tugas mengacara dianggap fasa baru buat Siti yang sebelum ini terarah pada hiburan semata-mata. Tetapi, kali ini, memerlukan Siti lebih terbuka minda untuk bercakap tentang seni sambil mengajak tetamu undangan berkongsi pengalaman masing-masing,” katanya.

Tambah penyanyi ini lagi, mengendalikan sebuah rancangan juga menjadi cabaran buatnya selain mengaku dunia baru ini merupakan galang ganti bidang nyanyian jika dia tidak lagi aktif menyanyi kelak.

“Justeru, Siti melihat program ini bertindak sebagai platform awal sebelum meneruskan langkah lebih panjang untuk bergelar pengacara,” ungkap Siti ketika ditemui pada rakaman salah satu episod Siti di studio Filem Negara Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, minggu lalu.

Begitu teruja dengan lapangan baru yang diterokai, kata Siti dunia pengacaraan memberi pengalaman berharga kepadanya.

“Secara tidak langsung, ia memahirkan Siti dalam aspek berkomunikasi dan melontar soalan-soalan berilmiah. Terus terang, pada mula, Siti berdepan kesukaran kerana masih baru dan perlu mempelajari lebih banyak perkara.

“Bayangkan, sampai Siti rasa boleh pecah kepala apabila hendak menggunakan bahasa formal dengan tetamu terdiri daripada golongan berpengaruh dan ahli perniagaan,” terang Siti.

Mengulas keistimewaan Siti berbanding program bual bicara lain, Siti berpendapat rancangan terbitan rumah produksi, Global Station itu memberi dimensi baru tentang hiburan dan inspirasi buat audiens menerusi deretan segmen disediakan.

“Program ini terbahagi kepada enam segmen. Kalau boleh, Siti mahu program ini terlihat seimbang buat tontonan umum. Dengan tema - hiburan dan inspirasi, Siti ingin menunjukkan tentang dunia seni dan kepayahan individu tertentu yang kini mencapai kejayaan,” katanya.


Berpeluang menemu bual mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi segmen Sesi Temu Ramah, pelontar Jerat Percintaan itu mengungkapkan bahawa dia tidak berupaya menyembunyi perasaan gementar sementelah cukup mengagumi tokoh negarawan terbilang itu.

Akuinya: “Gementar. Siti rasa cukup gementar kerana ini menjadi permulaan bidang baru. Pada mula, Siti cuba hendak mengawal debaran dalam diri. Malah, bermacam perkara bermain dalam kepala sebelum rakaman dijalankan. Sampai beberapa kali Siti gagap di depan kamera.

“Namun, lama kelamaan Siti dapat membuang jauh perasaan ini. Nasib baik sewaktu menemu bual Tun Mahathir, semua berjalan lancar tanpa ada masalah. Ini kerana Siti seperti terkena tempias aura dan semangat beliau sepanjang segmen tersebut”.

Mahu kehidupan lebih baik

Esok, 11 Januari 2011, Siti menginjak usia 32 tahun. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, soalan yang sama dilontar media - apa yang diinginkan Siti saat usia bertambah.

Dan persoalan tersebut disambut dengan senyuman sebelum dia memberitahu, tahun ini dia mengidamkan sebuah kehidupan yang lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.

“Siti mahu menjalani hidup dengan sebaik mungkin. Ia termasuk kerjaya seni. Siti ingin apa yang diimpikan sebelum ini termasuk memperbaiki diri, tercapai apabila melangkah masuk usia 32 tahun.

“Malah, kalau boleh, Siti berharap konsert yang sepatutnya direncanakan pada tahun lepas dapat direalisasi pada 2011. Buat masa ini, Siti mencuri masa untuk menghasilkan album sama ada pop atau tradisional dijangka muncul selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

“Cuma, yang pasti, kalau membikin album pop, Siti teringin untuk bekerjasama dengan komposer-komposer muda kerana kita kena menghargai bakat luar biasa yang mereka miliki. Lihat sahaja, senario pemuzik generasi baru ini semakin mendapat perhatian di kalangan peminat.

“Rugi jika Siti tidak ambil peluang kolaborasi bersama mereka. Siti tidak kisah hendak bekerja dengan sesiapa. Tinggal lagi, mereka kena sesuaikan konsep muzik Siti,” akhiri peneraju bisnes SimplySiti itu meluah kecintaan pada karya Yuna, Aizat, Noh (Hujan) dan Adi (6ixth Sense).

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url