Utamakan guru sandaran masuk IPG
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, keutamaan perlu diberikan kepada mereka selaras dengan janji kementerian yang akan mengambil kira pengalaman lebih tiga tahun dalam pendidikan untuk pemilihan ke IPG.
Pada masa ini, menurut beliau, GSTT berpengalaman terpaksa bersaing dengan calon baru yang tiada pengalaman dalam bidang perguruan untuk melanjutkan pengajian di IPG.
"Pemilihan mereka sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan kepada profesion perguruan ketika mengalami kekurangan guru terlatih," katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Sabri menegaskan, pengalaman GSTT wajar diberi pertimbangan utama oleh kementerian supaya usaha memartabatkan profesion perguruan dapat dipertingkatkan.
"Pihak kementerian wajar mengambil kira pandangan pihak lain yang mempunyai pengetahuan dalam bidang itu supaya masalah kekurangan guru di sekolah dapat diatasi segera.
"Walaupun pelbagai langkah diambil kementerian untuk memenuhi keperluan guru di sekolah tetapi masih terdapat kekurangan guru dalam subjek tertentu," ujarnya.
Mohamed Sabri turut mencadangkan kementerian mempertimbangkan pertambahan kuota pengambilan calon guru di IPG selaras dengan keperluan di sekolah.
Pada masa sama ujarnya, kementerian perlu memperkasakan program Kursus Dalam Cuti (KDC) bagi guru sementara yang berpengalaman mendapat pengiktirafan dalam bidang itu.
"Suatu ketika dahulu, program KDC sangat membantu kementerian mengatasi kekurangan guru di sekolah di samping mengiktiraf kebolehan dan pengalaman guru terbabit.
"Beberapa dasar baru kementerian tahun ini perlu diseimbangkan dengan kecukupan tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman bagi menjamin kejayaan dasar itu," katanya.
- UTUSAN