AKPK urus hutang RM4.9b tahun 2010


Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menguruskan hutang individu berjumlah kira-kira RM4.9 bilion setakat akhir tahun lalu, membabitkan 52,947 peminjam yang dirujukkan di bawah Program Pengurusan Hutang (PPK).

Walaupun jumlah kes yang dirujuk di bawah program itu mencatatkan penurunan, tetapi masalah penggunaan kad kredit masih menjadi faktor utama kegagalan individu membayar balik pinjaman iaitu mewakili hampir 70 peratus.
Ketua Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan, berkata kegagalan membayar hutang disebabkan perbelanjaan perubatan yang tinggi yang mana ia turut membabitkan penggunaan kad kredit kekal menjadi punca utama, mewakili kira-kira 26 peratus.

Katanya, punca lain ialah perancangan kewangan yang kurang cekap (25 peratus), penggunaan kad kredit di luar kawalan (15 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus) serta kehilangan pekerjaan (11 peratus).

“AKPK mendapati lebih 80 peratus daripada individu yang dirujuk kepada program ini tidak mempunyai langsung simpanan, dan secara purata mereka berhutang dengan lima bank.

“Menerusi program ini, mereka diberi kaunseling dan didedahkan kepada kepentingan menyimpan antara 10 hingga 20 peratus daripada gaji bulanan bagi menjamin masa depan mereka,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, penggunaan kad kredit tidak terkawal bukan lagi menjadi punca utama seperti dua hingga tiga tahun sebelum ini susulan langkah kerajaan yang mengenakan caj perkhidmatan RM50.

Katanya, statistik Bank Negara Malaysia menunjukkan pengurangan dalam pengedaran kad kredit di pasaran dari 10.8 juta kad pada Disember 2009 kepada 8.6 juta kad pada November tahun lalu.

Mohamed Akwal berkata, sehingga 31 Disember 2010, seramai 140,462 individu telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling di AKPK yang mana 37.7 peratus atau 52,947 daripadanya dibantu melalui PPK.

Beliau berkata, seramai 11,958 orang dirujuk kepada PPK pada 2008 seterusnya menurun kepada 16,184 pada 2009.

Katanya, pengurangan individu yang dirujuk kepada AKPK setiap tahun menunjukkan keadaan ekonomi negara semakin baik dan meningkatnya kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang baik.

Setakat Disember tahun lalu, sebanyak 504 kes membabitkan pinjaman berjumlah RM14 juta berjaya diselesaikan AKPK, dan beliau turut menjangkakan lebih 1,000 kes baru akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

“Kami menyelesaikan kira-kira 40 kes sebulan kerana kebanyakan yang mengikuti PPK sudah mampu menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh maksimum 10 tahun yang diberikan,” katanya sambil menambah purata hutang yang diuruskan kira-kira RM90,000.

Katanya, kumpulan yang berpendapatan bersih kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan dan mereka mewakili kira-kira 38 peratus daripada jumlah individu yang menyertai PPK.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, BNM dengan kerjasama AKPK kini sedang menganjurkan program pendidikan percuma iaitu Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) di tujuh lokasi sehingga Mac ini.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi 1-800-88-2575 atau melayari www.akpk.org.my

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url