Pendeposit kesejuta Tabung Haji


KUANTAN: Langkah mendaftar sebagai Ahli Kelab Tabung Haji (Kelab TaHa) ketika menunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membawa tuah kepada Nasriyah Ridwani Mohamed Nazri, 13, apabila terpilih menerima penghargaan sebagai pendeposit kesejuta Lembaga Tabung Haji 2010.

Nasriyah berkata, bapanya, Mohamed Nazri Yusof, 44, mengajaknya mendaftar selepas melihat Tabung Haji mengadakan promosi Kelab TaHa di masjid berhampiran rumahnya di Taman Berjaya Permas, di sini, pada 15 Disember lalu.
Pelajar Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan berkata, beliau bersama dua adik, Rafiq Naufal, 9, dan Rizq Nukman, 7, kemudian mendaftar dan membuka akuan Tabung Haji dengan permulaan RM20.

“Bapa mahu kami menjadi ahli kelab ini kerana menggalakkan kami menabung untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyampaian dan Penghargaan Pendeposit Sejuta Tabung Haji 2010, di sini.

Hadiah disampaikan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Kamarudin Mat Ali.

Nasriyah yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun lalu, berkata penghargaan itu mendorongnya untuk terus menyimpan bagi kegunaan masa hadapan.
“Tidak rugi menyimpan, lagi pun syarat membuka akaun hanya serendah RM2 saja,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah bahasa.

Sementara itu, Abi Musa berkata, Tabung Haji mensasarkan lapan juta pendeposit atau bersamaan 50 peratus penduduk Islam di negara ini menjelang tahun depan.

Beliau berkata, angka itu disasarkan berdasarkan keyakinan tinggi pihaknya berikutan kejayaan menarik sejuta pendeposit baru sepanjang tahun lalu.

Katanya, jumlah pendeposit baru itu juga adalah tertinggi dicatatkan sejak penubuhan Tabung Haji berbanding seramai 600,000 pendeposit baru pada 2009.

“Ketika ini, jumlah pendeposit Tabung Haji adalah seramai 5.6 juta dengan nilai deposit RM25.8 bilion pada 31 Disember 2010 dan yakin kita dapat mencapai sasaran itu dengan pelbagai aktiviti dan program yang dilaksanakan,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url