Jet pejuang kawal Kaherah
KAHERAH - Beberapa jet pejuang mengawal bandar ini dengan terbang rendah semalam dalam hari keenam protes menentang pemerintahan Presiden Mesir, Hosni Mubarak.
Beberapa minit sebelum perintah berkurung bermula pada pukul 4 petang, dua jet pejuang berlegar di bandar Kaherah.
Sejumlah anggota polis dilihat kembali ke jalan-jalan raya dengan mengawal ketenteraman dua hari setelah tidak membuat kawalan ekoran tunjuk perasaan besar-besaran penduduk.
Sekumpulan lelaki bersenjata turut menyerang empat buah penjara semalam di seluruh Mesir sebelum subuh menyebabkan ratusan militan dan ribuan banduan lagi dibebaskan.
Namun, sebahagian banduan enggan melarikan diri walaupun mereka dibebaskan kumpulan tersebut.
Alasan yang diberikan oleh para banduan yang enggan melarikan diri ialah mereka cuma hanya ada sebulan sahaja lagi akan dibebaskan.
Sementara itu, tentera menghantar lebih banyak askar dan kenderaan berperisai pada waktu pagi dan tengah hari.
Sejumlah trak yang membawa ratusan anggota polis kembali ke Kaherah semula pada waktu tengah hari dan ia diletakkan di beberapa lokasi di bandar raya ini.
"Mereka (anggota-anggota tentera) mahu menakutkan orang ramai," kata seorang penunjuk perasaan, Alfred Raouf yang merupakan seorang jurutera perisian.
Angka kematian dalam protes itu dianggarkan 100 orang manakala Hosni yang memerintah selama 30 tahun dilihat mengadakan mesyuarat dengan para komander tentera.
Hosni melawat sebuah ibu pejabat tentera dan menemui para komander kanan.
Dalam satu mesyuarat di ibu pejabat itu, Hosni dilihat mengadakan mesyuarat dengan Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman yang juga bekas ketua agensi perisikan mesir, Menteri Pertahanan, Mohamed Hussein Tantawi, Ketua Staf Tentera, Sami al-Anan dan beberapa komander lain.
Butiran mesyuarat tidak didedahkan.
Pihak pembangkang, Persaudaraan Muslim bersetuju untuk mencalonkan bekas Ketua Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed ElBaradei untuk berunding dengan pemerintah Mesir berhubung isu protes tesrebut.
"Kumpulan-kumpulan politik menyokong ElBaradei untuk berunding dengan rejim," kata seorang anggota kumpulan Persaudaraan Muslim, Essam el-Eryan.
Elbaradei kembali ke Kaherah dari Austria pada Khamis lalu sebelum protes besar-besaran berlaku pada Jumaat lalu.
Protes itu diadakan ekoran kemarahan rakyat terhadap Hosni yang tidak membawa kemakmuran ekonomi di negara yang kebanyakan penduduknya miskin selain sekatan kebebasan bersuara.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya mengikuti dengan teliti perkembangan di Mesir.
Protes di Mesir membimbangkan Israel kerana negara itu mempunyai perjanjian keamanan dengan Kaherah lebih 30 tahun lalu.
- Agensi