Muiz Sudoku mania
Sembilan kotak kecil tersusun di garisan horizontal dan angka yang sama turut dimestikan berada di garisan vertikal.
Di dalamnya ada sembilan lagi sel berukuran 3x3. Pemain perlu mengisi sel-sel kosong dengan menggunakan nombor antara satu hingga sembilan mengikut petunjuk yang diberikan.
Setiap sel, hanya satu angka sahaja dibenarkan untuk diisi.
Menggunakan pen atau pensil, pemain kemudiannya perlu berfikir secara logik untuk menyelesaikan teka-teki bernombor itu yang cukup popular dengan nama uniknya, Sudoku.
Permainan tersebut tidak asing bagi Bagi Muizzuddin Yaacop, 20.
Mula jatuh hati dengan Sudoku sejak tiga tahun lalu selepas diperkenalkan oleh seorang sahabat, dia kini sukar berpisah dengan hobi tersebut walau sekejap.
Menurut penuntut tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Perisian Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu, manfaat Sudoku bukan sekadar sebagai hobi di masa lapang.
Permainan itu banyak membantu mengasah ketajaman dan kecerdasan mindanya sebagai seorang pelajar.
“Biasanya, sebelum masuk ke kelas, saya akan selesaikan sekurang-kurangnya satu teka-teki Sudoku sebagai sarapan minda setiap hari.
“Bukan itu sahaja, ke mana-mana saya pergi pun, di tangan saya mesti ada Sudoku. Malah, kalau saya terjumpa keratan akhbar yang ada permainan ini, saya akan simpan dan selesaikan dengan penuh khusyuk.
“Boleh dikatakan saya macam dah ketagih dengan permainan ini. Malah, ada di antara kawan-kawan yang dah cop saya sebagai penggila Sudoku,” katanya.
Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu ramai menganggap Sudoku adalah permainan yang sukar terutama bagi mereka yang tidak menyukai subjek matematik.
“Bagi saya Sudoku sangat mudah dan menarik untuk dicuba. Ramai yang ingat permainan ini memerlukan formula tertentu seperti matematik, walhal itu semua tidak perlu pun.
“Di sini terletaknya keistimewaan Sudoku di mana ia menguji akal logik kita untuk menyelesaikan teka-teki yang diberikan,” katanya.
Selain puluhan buku dan keratan akhbar, kegilaan Muiz terhadap Sudoku juga turut teralih pada permainan ini yang turut terdapat di Internet.
Antara laman web yang menjadi pilihannya adalah Sudoku Kingdom, Web Sudoku dan juga Sudoku Online.
Mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarganya, kata Muiz dia juga tidak lokek menghabiskan wang untuk membeli buku permainan tersebut.
“Memanglah Sudoku tidak popular seperti permainan teka silang kata atau Jigsaw Puzzle, tetapi jangan tak tahu, Sodoku juga boleh menghilangkan tekanan.
“Kalau boleh saya mahu lebih ramai anak-anak muda terutamanya orang Melayu untuk mencuba permainan yang banyak dipelopori oleh bangsa lain terutamanya bangsa Cina,’’ kata Muiz.
- MINGGUAN MALAYSIA