Fajar baru sinari Mesir selepas kejatuhan Mubarak
Pengalaman 10 hari sejak sampai ke Mesir pada 2 Februari lalu, tidak mungkin sama dengan yang diperoleh penulis sepanjang menuntut di Universiti al-Azhar di Damanhur, 150 kilometer dari Kaherah sekitar akhir 1990-an dan awal alaf baru yang lalu.
Ditahan beberapa kali pada sekatan jalan orang awam bersenjata, dibawa ke balai polis tentera, kemalangan di Lebuh Raya Sahrawi (Padang Pasir) Iskandariah, meninjau kebangkitan rakyat di Medan Tahrir dan paling berharga menyaksikan ‘Thaurah Sya'ab atau revolusi rakyat berjaya menumbangkan Presiden Hosni Mubarak.
Ketika menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, negara yang mendapat jolokan Ardul Kinanah, masih berada di bawah cengkaman Mubarak tetapi bermula malam kelmarin, ia di bawah penguasaan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata di bawah pimpinan Muhammad Hussein Tantawi.
Ketika itu, Mesir berada dalam pergolakan penuh dengan ketidakpastian dengan gelombang manusia di Medan Tahrir ada pasang surutnya, manakala polis juga ada masanya ‘hilang’ dari jalan raya.
Malah ada waktunya, wartawan asing termasuk rombongan pemberita dari Media Prima Bhd (MPB), iaitu Berita Harian, New Straits Times dan TV3 turut menjadi sasaran keganasan dan gangguan yang picunya mungkin dipetik oleh tuduhan bahawa media mahu menjatuhkan maruah negara mereka di mata dunia.
Semua wartawan, jurugambar dan jurukamera tidak kira dari negara atau media mana, dianggap seperti pemberita Aljazeera serta CNN yang dibenci rakyat Mesir yang memang sifatnya sangat patriotik (ada kalanya keterlaluan) dan pantang dibuka aib mereka.
Sepanjang 18 hari Thaurah Sya'ab yang berlaku secara aman itu, tentera mengawal keadaan tanpa mengambil tindakan terlalu memperlihatkan mereka berada di pihak mana.
Bagaimanapun, tindakan diambil tentera itu memberi kelebihan kepada penunjuk perasaan yang ada kalanya mengedarkan minuman dan makanan kepada mereka yang berhimpun di Medan Tahrir.
Pendirian tentera terserlah apabila mengeluarkan ketetapan tuntutan rakyat mempunyai keabsahan dari segi undang-undang dan bertanggungjawab menjaga keselamatan negara serta rakyatnya.
Berlatarkan pergolakan politik Mesir itu, Kerajaan Malaysia memindahkan 9,000 pelajar dalam Ops Piramid yang membabitkan sembilan kapal terbang MAS dan Air Asia serta C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pemindahan itu menyebabkan penempatan pelajar lenggang termasuk Kompleks Rumah-Rumah Negeri Hayyu Asyir dan rumah negeri di Madinat Nasr serta Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK), selain penempatan di muhafazah atau wilayah di luar Kaherah.
Hanya 244 pelajar Malaysia masih ‘bertahan’ yang rata-ratanya di Kaherah, Iskandariah, Mansurah dan Dumyat, tetapi terpaksa bersiap-sedia dipindahkan pada bila-bila masa sekiranya keselamatan mereka terancam.
Pada masa sama, gelombang penunjuk perasaan di Medan Tahrir semakin surut sehingga Kaherah kembali hidup dengan bank dan premis perniagaan beroperasi dengan jutaan penduduknya ‘menebus’ kembali urusan mereka yang tertangguh selama dua minggu.
Penunjuk perasaan melakukan apa saja termasuk menerbitkan akhbar edisi khas, al-Maidan at-Tahrir yang dananya dijana daripada golongan simpati.
Akhirnya, perjuangan penunjuk perasaan mendapat suntikan yang tidak disangka apabila Eksekutif Google, Wael Ghonim yang ditahan selama 12 hari, dibebaskan daripada tahanan dan memberikan wawancara yang sangat emosional sehingga satu ketika beliau tidak dapat meneruskannya.
Tangisan Wael itulah yang menjadi gelombang kedua sehingga puluhan ribu penunjuk perasaan kembali membanjiri Medan Tahrir sehinggalah malam Khamis lalu apabila khabar angin peletakan jawatan Mubarak bertiup kencang dan akhirnya malam kelmarin, Mubarak tumbang.
Pengumuman ringkas timbalannya, Omar Suleiman mengenai peletakan jawatan Mubarak, disambut dengan kegembiraan luar biasa sehingga Kaherah berpesta hingga ke pagi semalam yang turut diraikan dengan penuh kesyukuran apabila penunjuk perasaan menunaikan solat Subuh berjemaah yang ditutup dengan bacaan doa yang panjang dan mengharukan.
Fajar baru yang terbit di bumi anbia itu membawa sekali tanggungjawab besar rakyat Mesir untuk memulihkan politik, sosial dan ekonomi selepas ‘dicengkam’ kegelapan selama 30 tahun.
Selepas fajar kegembiraan disambut rakyat Mesir, mereka perlu melalui siang yang panjang tetapi pastinya dengan sinar baru.
- BERITA MINGGU