Muslimah dilarang cerita aurat wanita lain

Oleh Muhammad Asyraf
Imam Muda Astro Oasis

Timbul isu dibangkitkan muslimah kini dalam berinteraksi dengan wanita bukan Islam terutama membabitkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Ini sedikit sebanyak mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.

Menutup aurat bagi muslimah diwajibkan oleh syarak serta satu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah. Seorang muslimah dibenarkan menampakkan aurat hanya kepada golongan tertentu.
Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan mereka, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Mengenai aurat muslimah dengan wanita bukan Islam, timbul perbezaan pendapat kerana ada mengatakan boleh bagi muslimah membuka aurat hanya kepada muslimah saja.

Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azhim berkata, muslimah tidak dibenarkan menampakkan aurat kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah) bagi memastikan mereka tidak bercerita mengenai aurat muslimah kepada suami mereka.

Sebenarnya tidak ada larangan khusus mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah tetapi untuk muslimah, sudah semestinya dia memahami menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal berkenaan.
Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat muslim dihebah-hebahkan.

Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam. Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dengan kata-kata Ibn Abbas yang mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian.

Pendapat ini juga dipegang Imam al-Qurtubi dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yang bermaksud: “Dan Umar menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita Islam.
Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini adalah pendapat jumhur ulama.

Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan ulama ini, mereka mendatangkan hukum berdasarkan alasan tertentu iaitu supaya aurat muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka (perempuan ahli zimmah).

Dalam isu ini, jika wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi muslimah menampakkan aurat kepada mereka. Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama.

Mereka tidak memandang menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan mereka secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan muslimah membuka aurat di hadapan wanita bukan Islam atas keperluan syarat tertentu.

Antaranya, dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahli zimmah) itu dapat dipercayai tidak menceritakan perihal aurat muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu sama ada boleh dipercayai atau tidak.

Ibn al-Arabi al-Maliki dalam kitabnya Ahkamul Qur'an, mengatakan boleh bagi muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan muslimah.

Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubungan baik dengan mereka termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya.

Apa ingin dijelaskan mereka adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam.

Pandangan ini dipersetujui Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi mendatangkan alasan berbeza keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita berlainan agama begitu meluas di sekolah, pusat pengajian tinggi, asrama dan tempat bekerja.

Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di depan mereka kerana mendedahkan kepada bahaya dan mudarat seperti mana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.

Disebabkan itulah Islam melarang muslimah menceritakan kepada rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota tertentu yang terselindung di sebalik batasan aurat digariskan Islam.

Islam mengangkat tinggi kedudukan wanita dengan memelihara status kemuliaan mereka. Disebabkan itu apa saja yang boleh memberi kesan terhadap merendahkan kedudukan wanita, maka ia dari awal lagi ditegah dalam Islam.

Perbuatan menceritakan aurat sendiri atau aurat wanita lain kepada bukan mahram mereka adalah ditegah kerana secara tidak langsung memberi gambaran kepada lelaki bukan mahram berkenaan aurat yang mana asalnya bertujuan menutup pintu perzinaan.

Daripada Ibn Mas’ud, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang perempuan itu bergaul dengan perempuan lain kemudian ia menceritakan perihal perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, wanita dilarang menceritakan aurat wanita saudaranya dan rakan lain kepada suami masing-masing. Apatah lagi bagi pasangan belum berkahwin untuk menceritakan perihal aurat mereka kepada tunang, kekasih mahupun rakan berlainan jantina.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url