Penumpang awasi pemandu bas

Taktik penyamaran serta penggunaan borang aduan yang diperkenalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menggerunkan pemandu bas ekspres apabila tindak-tanduk mereka sentiasa diawasi penumpang.

Melalui borang yang diedarkan, penumpang diberi 'kuasa' mengawasi dan melaporkan sebarang kesalahan yang dilakukan pemandu seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu, mengenakan tambang lebih dan memandu di lorong kecemasan.

Tidak hairanlah, JPJ banyak menerima maklumat daripada penumpang mengenai pemanduan bas yang lebih perlahan serta tempoh perjalanan semakin panjang sejak penggunaan borang aduan dilaksanakan di seluruh negara mulai awal bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, sejak Ops Sikap yang dijalankan sejak 7 Januari lalu hingga semalam, 261 kesalahan dicatatkan membabitkan pemandu bas ekspres hasil maklumat daripada borang aduan serta penyamaran anggota JPJ.

Daripada jumlah itu, 64 kesalahan membabitkan pelanggaran syarat permit, menggunakan telefon bimbit ketika memandu (48), memandu di lorong kanan secara berterusan (23), melanggar syarat lalu lintas (2), memandu di lorong kecemasan (1) dan 93 kesalahan lain.

"Dalam banyak keadaan, pemandu bas terperangkap kerana kesalahan mereka boleh dibuktikan. Contohnya, jika mereka menggunakan telefon bimbit ketika memandu, penumpang akan mencatatkan di kilometer berapa dan masa dia (kesalahan dilakukan).

"Begitu juga dengan kesalahan mengenakan tambang lebih kerana resit asal ada dalam simpanan penumpang. Penyamaran anggota JPJ pula membolehkan sebarang kesalahan pemandu dirakamkan sebagai bukti," katanya ketika mengetuai Ops Sikap JPJ sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Juru, di sini hari ini.

Ismail berkata, borang aduan akan diedarkan kepada penumpang sebelum perjalanan dan jika pemandu bas melakukan kesalahan, tindakan saman atau kompaun serta-merta boleh dikenakan oleh pegawai JPJ yang mengutip borang berkenaan di destinasi terakhir.

Menurutnya, sebanyak 8,873 borang aduan diedarkan kepada penumpang dan 973 atau 11 peratus daripadanya diserahkan semula kepada JPJ.

Sepanjang tempoh itu juga katanya, anggota JPJ ditempatkan secara rambang di 662 bas ekspres di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 180 tindakan telah diambil atas pelbagai kesalahan.

"Kita percaya pendekatan baru ini mula menunjukkan kejayaan apabila pemandu lebih berdisiplin dan berhati-hati kerana mereka menyedari tindak-tanduk mereka diawasi sepanjang perjalanan.

"Kebelakangan ini kita terima aduan mengenai pergerakan bas yang agak lambat. Contohnya, tempoh perjalanan yang biasanya memakan masa empat jam, kini menjadi lima jam. Ini sedikit sebanyak menjadi tanda bahawa pemandu lebih berhati-hati," katanya.

Mengenai peratusan pengembalian borang aduan yang terlalu sedikit, Ismail berkata, ia mungkin disebabkan kaedah pengisian borang yang terlalu rumit dan pihaknya akan membuat penambahbaikan agar ia lebih memudahkan penumpang.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Isnin, 19 Mac 2012 pada 10:14:00 PG SGT

    salah satu cara yang berkesan..dengan ini pemandu akan lebih berwaspada kerana khuatiri tindak tanduk akan dihidu sepanjang masa..JPJ patut sentiasa lakukan operasi seperti ini lebih-lebih lagi bas tambang, bang henti-henti di sekitar johor bahru..

Add Comment
comment url