12,000 MyKad dicetak sehari


Oleh ROZAID A. RAHMAN dan IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

“Kalaulah yang sedang dicetak itu adalah milik sendiri....,” kata suara hati penulis yang teruja apabila menyaksikan sendiri bagaimana kad pengenalan diri warganegara Malaysia, MyKad diproses di satu lokasi yang dirahsiakan, baru-baru ini.

Terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana memberi peluang yang mungkin datang hanya sekali itu kepada penulis untuk melihat sendiri bagaimana MyKad dicetak dan dikeluarkan.

Bagaimanapun, sebarang lensa kamera tidak dibenarkan di kawasan ini atas sebab-sebab yang melibatkan isu keselamatan negara.

Proses mencetak MyKad amat mementingkan aspek keselamatan. Hanya pegawai berpengalaman sahaja dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan bahagian ini.

Semua akses menggunakan sistem biometrik iaitu pengesanan cap jari. Itu belum termasuk lagi dengan proses tapisan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Dari sekeping kad yang kosong kebiruan dan diperbuat sepenuhnya daripada bahan polikarbonat itu, ia kemudiannya melalui mesin sistem peribadi berprestasi tinggi.

Mesin yang dipanggil HPPS itu berfungsi untuk memformatkan cip pada MyKad dan mampu memproseskan format kepada 12,000 keping MyKad sehari.

Cip itu bertindak sebagai penyimpan maklumat aplikasi lapan campur satu (8+1) yang meliputi kad pengenalan, prasarana kekunci awam, lesen memandu, kad ATM, asas kesihatan, elektronik tunai (MEPS), pasport, Touch n Go dan ‘frequent traveller card’.

Maklumat pemohon akan disalurkan kepada Sistem Pengurus Kad menerusi Pusat Data sebelum dicetak menggunakan mesin berteknologi tinggi dari Amerika Syarikat.

Bagaikan kilang percetakan surat khabar, satu persatu kad dicetak dengan gambar serta maklumat peribadi pemohon seperti nama penuh, alamat, agama dan jantina.

Sepanjang proses itu, MyKad dicetak dengan paparan imej ‘berhantu’ menggunakan teknologi engrave serta cetakan tandatangan Ketua Pengarah JPN secara digital.

Mesin cetak itu mempunyai kapasiti maksimum untuk mencetak sehingga 18,000 MyKad sehari namun secara purata 12,000 MyKad dicetak sehari.

Bagaimanapun jumlah 12,000 MyKad yang dicetak itu hanya di lokasi yang dirahsiakan. JPN turut mempunyai dua lagi ‘Kilang Percetakan MyKad’ masing-masing satu di Melaka dan Sarawak iaitu secara purata mencetak 400 MyKad sehari.

Difahamkan, terdapat rancangan untuk memperluaskan rangkaian percetakan itu ke seluruh negara menerusi bajet dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat bermula ke zon Timur, Utara dan Selatan sebelum diperluaskan ke setiap ibu negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Sebaik sahaja MyKad dicetak, ia akan melalui proses pengesahan bagi memastikan semua maklumat di dalam cip dan paparan pada kad adalah tepat dan seragam.

Difahamkan, kos sekeping MyKad adalah RM27 tetapi JPN mengenakan caj hanya RM10 dan selebihnya adalah subsidi daripada kerajaan.


“Oleh itu, masyarakat seharusnya menjaga MyKad sebaik-baiknya seperti mana kita menjaga wang. Jika (MyKad) hilang, nanti dikenakan denda pula,” kata Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim.

Kalaulah dalam 12,000 MyKad yang dicetak oleh JPN setiap hari itu adalah milik penulis sendiri, sudah pasti boleh diambil terus sebaik selesai ia disahkan.

Namun bukan semudah itu kerana adalah satu kesalahan bagi individu yang mempunyai dua MyKad pada satu-satu masa apatah lagi memiliki MyKad orang lain.

Penulis juga seperti orang lain yang mendapatkan gantian MyKad baru kerana kes kerosakan perlu menyerahkan kembali MyKad lama berserta bukti permohonan.

Pastinya, MyKad milik kami merupakan antara 12,000 kepingan kad pengenalan diri dengan ciri keselamatan tinggi yang dicetak pada hari lawatan berkenaan.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url