Kadar Perayauan Bagi Pengguna Telefon Bimbit Akan Diturunkan

PUTRAJAYA: Mulai 1 Mei ini, para pengguna telefon bimbit di Malaysia dan Singapura akan menikmati diskaun 20 peratus untuk panggilan suara dan 30 peratus bagi SMS, apabila menggunakan perkhidmatan perayauan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pengurangan itu adalah satu usaha yang bermakna bagi Malaysia dan Singapura kerana ia menandakan kerjasama rapat antara kedua buah negara.

"Ia merupakan kerjasama dua hala yang pertama bagi mengurangkan caj perayauan dalam lingkungan Asean dan membuka jalan bagi usaha yang sama di kalangan negara Asean," katanya pada pelancaran kadar perayauan melalui penggunaan telefon bimbit antara Malaysia dan Singapura.

Rais berkata, para pengguna akan mendapat pengurangan itu apabila menggunakan khidmat perayauan menggunakan telefon bimbit yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih di kedua buah negara seperti Celcom, Digi, M1, Maxis, SingTel, Star Hub dan U-Mobile.

Menurut beliau, pengguna pasca bayar dan prabayar akan menikmati pengurangan itu.

Katanya, kadar pengurangan itu akan ditingkatkan sehingga 30 peratus bagi panggilan suara dan sehingga 50 peratus bagi SMS mulai 1 Mei tahun depan.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura Lui Tuck Yew berharap untuk melihat para pengatur kedua belah pihak akan mengenal pasti inisiatif baru bagi meningkatkan kesalinghubungan antara Singapura dan Malaysia.

"Saya puji komitmen penyedia perkhidmatan yang berikhtiar bagi mempromosikan hubungan komunikasi antara kedua buah negara," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url