Kerajaan sasar terbit 26,000 judul buku setahun

Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan semua pemain industri buku untuk mencapai sasaran penerbitan sekurang-kurangnya 26,000 judul buku setahun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah itu memenuhi penerbitan 0.1 peratus daripada populasi penduduk negara ini selaras dengan saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketika ini, katanya penerbitan buku di negara ini hanya mencapai 16,000 judul buku setahun.

“Hasil pengeluaran dan penulisan perlu digembleng dan yang penting ialah untuk mendapatkan seberapa ramai mungkin penulis, penerbit supaya dengan cara begitu, hasil karya mendapat sokongan dan bermutu.

“Bukan setakat keluarkan judul buku tetapi hasil penulisan berkualiti diperlukan, jadi masih ada ruang besar untuk mencapai sasaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 `Buku: Dunia Tanpa Sempadan’, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

PABKL yang berlangsung selama 10 hari berakhir 1 Mei ini mensasarkan kehadiran 1.5 juta pengunjung. Bagi tahun ke-30 ini, PBAKL menyediakan 734 gerai pameran untuk syarikat tempatan dan luar negara. Terdapat 25 penyertaan antarabangsa termasuk ASEAN, Eropah dan Asia Barat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata agensi kerajaan yang terbabit akan terus mengeratkan kerjasama dengan sektor swasta di bawah industri buku untuk sama-sama membuat pemetaan penerbitan buku bagi mencapai sasaran.

Beliau berkata, minat membaca di kalangan rakyat yang semakin meningkat berbanding beberapa tahun sebelum ini akan memberi kesan positif terhadap industri buku negara.

“Tahap membaca itu menjadi petunjuk bahawa kita perlu mempertingkatkan usaha bagi membolehkan budaya membaca menjadi sebahagian daripada hidup kita, bukan setakat hanya membaca tetapi membaca untuk menguasai ilmu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri menyarankan Anugerah Buku Kebangsaan dipimpin Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama persatuan di bawah industri buku diangkat statusnya sebagai anugerah tertinggi dengan ditukar namanya sebagai Anugerah Buku Perdana yang mengandungi Anugerah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta anugerah lain yang bersesuaian.

Beliau berkata, dengan cara itu, semua pihak berkepentingan dengan industri buku dan di bawah payung MBKM akan membuka platform galakan kepada karyawan dan penerbit menghasilkan terbitan bermutu bagi memenuhi permintaan pembaca.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url