MSAM di Ipoh terus jadi tarikan ramai


IPOH 21 April - Orang ramai terus membanjiri tapak pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011, yang memasuki hari kedua di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh di sini, seawal pagi tadi.

Sejak pukul 8 pagi lagi, ratusan pelajar dari seluruh negeri ini dengan kerjasama PNB, mengunjungi MSAM untuk memastikan mereka tidak ketinggalan menyertai pameran pelaburan yang julung-julung kali diadakan.

Tinjauan mendapati, para pengunjung bukan sahaja datang untuk menyaksikan pameran tetapi juga melakukan urus niaga serta mendapatkan khidmat nasihat di kaunter-kaunter Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB).

Seorang pesara, Iberahim Salikin, 67, gembira kerana dapat berkunjung ke MSAM untuk melakukan urus niaga secara dekat dengan PNB.

Beliau yang menjadi pelabur lebih 25 tahun lalu berkata, sebelum ini segala urusan berkenaan dilakukan di Pejabat Pos sahaja.

''Selama ini, anak saya yang membantu saya membuat transaksi tetapi hari ini saya berpeluang berjumpa dengan kakitangan ASNB," katanya.

Isterinya, Musalmah Ahmad, 65, pula berkata, para pelabur PNB wajar menyertai pameran ini kerana selian boleh melakukan transaksi, khidmat nasihat perancangan kewangan juga disediakan untuk para pengunjung.

''Makcik hanya melabur dalam Amanah Saham Bumiputera sahaja tidak tahu pula ASNB ada pilihan (produk) lain.

''Bila sudah diberi penerangan, barulah makcik tahu banyaknya produk kita boleh melabur," ujarnya.

Menurut kakitangan PNB yang bertugas, sejak semalam dan hari ini, mereka menerima banyak kunjungan golongan warga emas untuk menambah pelaburan dalam produk-produk keluaran firma pelaburan itu.

Sementara para pelajar pula tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai pameran yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat yang menyertai MSAM.

Sepanjang enam hari ini, pelbagai acara pendidikan berbentuk hibur didik diadakan antaranya Kuiz PNB - Bijak Padan dan e-peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Menerusi e-peraduan, para pengunjung berpeluang memenangi hadiah berupa motosikal, basikal, baucer pelancongan, baucer insurans kenderaan, pelbagai barangan elektrik.

Selain itu, Toyota Vios dan Perodua Alza pula dijadikan hadiah utama bagi e-peraduan pada acara berkenaan.

Pinjaman mudah rakyat miskin labur unit amanah

Kerajaan akan memperkenalkan skim baru yang membolehkan semua rakyat berpendapatan rendah membuat pinjaman mudah bagi melabur dalam dana Amanah Saham 1Malaysia sebagai antara satu langkah menabung untuk jaminan masa depan.

Skim itu yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat tidak akan membebankan rakyat kerana pinjaman diberikan untuk membuat pelaburan rendah dengan pembayaran balik menerusi dividen yang diisytiharkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) setiap tahun.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya semalam berkata, perincian skim itu sedang dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Kewangan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian.
“Ini akan memperluaskan penyertaan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 (MSAM 2011), di Stadium Indera Mulia di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R Ganesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim.

Dalam ucapannya, Najib berkata, tarikh 20 April semalam menandakan genap 30 tahun usia skim amanah saham pertama diperkenalkan PNB, iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) yang ketika itu dirangka khusus untuk menggembleng dana Bumiputera secara teratur dan meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.

Beliau berkata, kejayaan PNB bukan setakat menubuhkan pelbagai dana unit amanah, malah mendidik rakyat, terutama Bumiputera mengenai kebaikan melabur serta melakukan transformasi minda sehingga masyarakat celik pelaburan dan mengetahui skim amanah mana yang lebih menguntungkan.
Malah, menerusi pengumpulan dana yang besar itu membolehkan beberapa syarikat gergasi yang namanya sering dikaitkan dengan penjajah British sejak sekian lama seperti Sime Darby, Guthrie dan Island & Peninsular, berjaya menjadi syarikat milik Malaysia.

“Apa yang lebih penting ialah kita mampu menguruskan syarikat bermodal besar dengan baik serta berjaya menarik pelabur dan menawarkan kadar dividen yang menarik,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tujuan asal PNB untuk membantu Bumiputera supaya jurang perbezaan pendapatan dapat dirapatkan dan perpaduan antara kaum dipertingkatkan, atas semangat toleransi dan mengeratkan integrasi kaum, bukan Bumiputera diberi peluang menyertai skim amanah diperkenalkan agensi berkenaan.

Najib berkata, menerusi Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan sekarang pula, kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan ekonomi secara keseluruhan serta menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Beliau berkata, prospek berkenaan akan menarik lebih ramai rakyat untuk melabur dalam dana amanah yang memungkinkan Malaysia bakal menjadi negara pelabur skim dana amanah terbesar dunia satu hari nanti.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai, terutama pelabur kecil jangan memikirkan keuntungan cepat semata-mata, tetapi paling penting ialah melabur dalam skim yang berisiko rendah serta tidak mudah tertipu dengan pelbagai bentuk skim cepat kaya,” katanya.

Najib mengingatkan rakyat tidak mudah terpedaya dengan tawaran skim saham tanpa lesen yang kelihatan menarik tetapi mengundang padah kepada mereka yang menyertainya.

- UTUSAN & BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url