Nuklear - Pengajaran buat Malaysia
Akhirnya, berlaku kebocoran radioaktif ke ruang udara dari sebuah loji
kuasa nuklear yang rosak teruk kerana terlampau panas serta letupan yang berlaku.
Gempa bumi itu secara automatik menutup enam reaktor nuklear loji kuasa nuklear Fukushima Dai-Ichi, milik Tokyo Electric Power company (Tepco). Ia juga turut merosakkan grid kuasa, memaksa operatornya bergantung kepada janakuasa diesel untuk mengekalkan aliran bahan pendingin ke dalam teras reaktor uranium radioaktif dan rod bahan api plutonium.
Kemudian, tsunami melandanya, mengakibatkan janakuasa rosak dan bekalan kuasa kepada sistem penyejuk di loji tersebut, terputus. Empat daripada enam reaktor nuklear itu berdepan dengan masalah terlampau panas. Letupan yang berlaku kemudiannya telah merosakkan rod bahan api dan integriti struktur tempat simpanan utamanya, dan mengakibatkan radioaktif bocor ke ruang udara persekitarannya.
Terdapat beberapa bahaya alam sekitar yang lebih berkekalan atau lebih menggerunkan daripada sinaran radioaktif akibat kemalangan loji nuklear tersebut. Kita pernah menyaksinya dalam malapetaka di Three Mile Island dan Chernobyl, dan sekarang di Fukushima. Kebenaran peraturan Murphy tidak dapat dielakkan: “Jika sesuatu boleh silap, lambat laun ia akan silap juga.”
Kesihatan awam
Implikasi kuasa nuklear kepada kesihatan awam tidak sepatutnya dipandang remeh, berbanding dengan pertimbangan ekonomi berhubung industri kuasa nuklear dan dasar-dasar tenaga kerajaan. Terdapat keperluan untuk menyemak semula bukti saintifik mengenai impak kuasa nuklear terhadap kesihatan awam, menilai bahaya pekerjaan ke atas pekerja industri nuklear, dan menilai bukti yang mencabar kesahan andaian mengenai keselamatan nuklear.
Kebimbangan kesihatan itu ialah risiko yang ditimbulkan oleh sinaran pengionan. Sepanjang 50 tahun yang lalu, dakwaan dalam industri nuklear, bahawa kuasa nuklear adalah selamat dan amat penting untuk masa depan kita, telah terbukti palsu dan menimbulkan perbalahan.
Sinaran pengionan boleh merosakkan DNA, menyebabkan kanser dan mewarisi mutasi. Bagaimanapun, sama ada seseorang itu menghidap
kanser selepas terdedah pada sinaran pengionan, bergantung kepada sama ada DNA telah rosak, bahagian DNA yang rosak, sama ada titisan sel boleh membiak, sama ada kerosakan itu pulih sepenuhnya, dan sama ada sel melalui transformasi penuh yang menjurus kepada keadaan yang membahayakan.
Bukti paling penting mengenai risiko dari pendedahan kepada radiasi datangnya dari kajian-kajian epidemiologi yang mengkaji insidens kanser di kalangan mereka yang mengalami pendedahan tersebut, seperti kanak-kanak yang terdedah kepada sinaran in utero, mereka yang terdedah kepada sinaran latar, pekerja loji nuklear, pesakit yang didedahkan kepada sinaran diagnostik atau terapeutik, dan mereka yang terdedah kepada radiasi akibat letupan nuklear.
Bila reaktor beroperasi, rod bahan api yang mengandungi pelet uranium dan plutonium, mengeluarkan haba melalui pembelahan nuklear dan menjadi sangat panas. Bahan api itu direndam dalam air dan kepanasannya menghasilkan wap, yang digunakan untuk menggerakkan sebuah turbin bagi menjanakan bekalan elektrik.
Air juga juga digunakan untuk mengelak bahan api daripada terlampau panas dan berkitar secara berterusan untuk membuang kepanasan yang berlebihan. Sekalipun reaktor ditutup, bahan api tetap panas dan masih perlu disejukkan.
Jika pam tidak beroperasi, maka air akan menjadi panas dan mengewap, dan bahan api terdedah kepada persekitaran. Pada ketika ini, pelapisan zirkonium pada rod bahan api akan mula memanas, lepuh, dan kemudian pecah.
Jika bahan api tidak ditenggalami air dan terdedah untuk beberapa jam, maka ia akan mula melarut. Bahan api lebur akan berkumpul pada dasar bekas keluli reaktor, dan dalam masa beberapa jam, bahan api yang cair itu akan menembusi bekas tersebut dan melimpah pada lantai konkrit pembendungan utama.
Dalam sesuatu kemalangan, radioaktif yang bocor ke udara akan bergantung kepada integriti bekas pembendungan utama dan sekunder. Isotop radioaktif kebimbangan terbesar dalam sesuatu kemalangan nuklear ialah iodin 131 dan saesium 137.
- MALAYSIAKINI