Pemilik boleh guna semula nombor kenderaan musnah
Ia berikutan pindaan ke atas Seksyen 11 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang diluluskan pada 15 Disember tahun lalu, dengan kebenaran dan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata selain pemilik asal kenderaan yang pernah didaftarkan itu, individu lain tidak dibenarkan mendaftar semula nombor pendaftaran terbabit apabila ia mula dilaksanakan tidak lama lagi.
Katanya, menerusi pindaan akta itu, Ketua Pengarah JPJ diberi kuasa memperuntukkan semula nombor pendaftaran kenderaan yang dilaporkan hilang, dicuri, rosak, binasa atau dihantar keluar negara untuk selama-lamanya kepada kenderaan baru yang belum didaftar.
“Pemilik yang berminat menggunakan semula nombor pendaftaran kenderaannya yang hilang atau musnah boleh mengemukakan permohonan di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan dengan syarat mendapat pelepasan untuk menggunakannya semula dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pemohon akan dikenakan caj yang akan ditentukan kelak apabila ia mula dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.
Cho Ha berkata, pihaknya yakin prosedur baru itu akan mendapat sambutan menggalakkan terutama oleh pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran bernilai utama, tetapi kenderaan mereka hilang atau musnah.
- BERITA HARIAN