Pengurusan kewangan masa depan
Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna, OCBC Al-Amin Bank Berhad
JIKA anda sudah mencecah usia 40 tahun dan masih belum lagi memikirkan tentang perancangan kewangan, usah resah. Masih belum terlewat tetapi perancangannya perlu disegerakan. Perancangan kewangan bukan hanya untuk orang kaya, anda mungkin perlu mengubah tanggapan segera. Sebenarnya perancangan kewangan lebih penting untuk mereka yang tidak berharta. Alasannya cukup mudah: orang biasa perlu memastikan pendapatan mereka yang terhad mampu menampung pelbagai keperluan hidupnya.
Pada usia 40-an, anda mungkin terpaksa menampung perbelanjaan keluarga yang semakin besar. Sama ada anda sedang memikirkan cara untuk menanggung kos pengajian tinggi anak atau membiayai sara hidup ibu bapa yang lanjut usia, anda mungkin mendapati diri anda kesempitan wang.
Justeru, OCBC Al-Amin ingin berkongsi dengan anda beberapa petua perancangan kewangan untuk menangani masalah kewangan apabila anda mencapai usia berkenaan:
Petua 1: Mula memikirkan persaraan anda
Buat permulaan, anggarkan berapa banyak yang anda perlu untuk hidup semasa bersara. Nilai anggaran sudah pun memadai dan harus merangkumi belanja sara hidup, kos perubatan tertentu dan sebarang hutang yang perlu anda bayar selepas bersara.
Setelah anda mengenal pasti jumlah tersebut, anda akan dapat mengetahui berapakah nilai persaraan anda. Nilai persaraan ialah jumlah wang yang perlu anda ada apabila anda bersara sebagai bekalan untuk menyara hidup anda sepanjang usia emas, apabila anda tiada lagi pendapatan tetap. Contoh kami memang ringkas dan anda sendiri mungkin perlu melakukan penyelidikan lanjut untuk kes anda. Kami membuat pengiraan berasaskan nilai anggaran. Jadi, andaikan anda memerlukan RM48,000 setahun untuk menampung gaya hidup anda semasa bersara, berasaskan andaian kadar pulangan lima peratus setahun, anda memerlukan nilai persaraan RM960,000 (RM48,000 dibahagikan dengan lima peratus setahun).
Langkah seterusnya ialah mengenal pasti jurang antara nilai persaraan dan sumber tabungan, contohnya KWSP apabila bersara dan simpanan anda setakat ini. Tetapkan matlamat untuk merapatkan jurang ini. Anda mungkin perlu mengisi tabungan atau pelaburan.
Hakikatnya, lebih lewat anda mula menabung untuk persaraan, lebih banyak usaha yang anda perlu curahkan untuk mencapai matlamat anda. Ia boleh dilakukan dengan mengambil langkah di atas, jadi jangan biarkan keraguan dan rasa tawar hati menghalang anda daripada bermula sekarang, tanpa mengira usia.
Petua 2: Fikirkan pendidikan anak anda
Jika anda seperti kebanyakan ibu bapa lain, menabung untuk pendidikan universiti anak anda ialah satu keutamaan dan cabaran besar. Apatah lagi dengan cabaran dan persaingan yang perlu dihadapi dalam pasaran kerja kini yang mementingkan segulung ijazah.
Untuk memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak, satu langkah bijak yang boleh diambil ialah dengan menganggapnya sebagai satu matlamat kewangan yang perlu dipenuhi. Buat penyelidikan tentang institusi pengajian tempatan dan asing. Dapatkan maklumat lanjut tentang cara untuk membiayai matlamat ini seperti pinjaman pelajar dan biasiswa. Dengan mengetahui pilihan yang ada, anda dapat mengawal wang anda.
Petua 3: Susun semula perbelanjaan anda
Usia 40an menandakan tempoh peralihan dalam hidup kerana kita menghadapi pelbagai cabaran. Hadapi perubahan ini dengan menentukan keutamaan matlamat anda. Kaedah asas masih boleh diguna pakai dan pada ketika ini, anda boleh mendapat banyak manfaat dengan mematuhi disiplin berikut:
- Mengetahui perbelanjaan anda
- Elakkan berbelanja berlebihan
- Utamakan tabungan
Asas ini sangat penting semasa anda memasuki usia 50an dan persaraan anda.
Petua 4: Dapatkan perlindungan Takaful
Akhir sekali, kami ingin menekankan betapa pentingnya anda mendapatkan perlindungan takaful. Jika anda sudah mempunyai Takaful, nilai semula perlindungan anda untuk memastikan ia masih memenuhi keperluan anda. Jika anda tidak mempunyai Takaful, pastikan anda mendapatkannya sekarang terutamanya jika anda mempunyai orang di bawah tanggungan yang bergantung pada anda untuk sokongan kewangan.
Pemergian anda mungkin sukar dihadapi oleh orang tersayang. Jangan pula mereka terpaksa dibelenggu masalah kewangan apabila anda sudah tiada. Kos pengkebumian juga mungkin menelan belanja besar dan menimbulkan tekanan. Kami mengesyorkan perlindungan asas untuk menampung belanja pengkebumian dan menanggung sara hidup keluarga untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun. Anda juga perlu mempertimbangkan perlindungan seperti pembiayaan rumah, pendidikan anak atau matlamat persaraan suami/isteri anda.
Walaupun kedudukan kewangan bagi orang yang berusia 40an berbeza-beza, ada baiknya anda memikirkan jangkaan kewangan anda untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Keputusan yang anda buat akan memberi anda jaminan pada masa depan.
- UTUSAN