Projek Virtual Mall akan dilaksana sebelum Disember 2012

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melaksanakan Projek Virtual Mall di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi membangunkan sektor perdagangan elektronik sebelum Disember 2012.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata projek itu akan memberi peluang kepada usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menggunakan platform berasaskan elektronik sebagai kaedah alternatif dalam memasarkan produk perniagaan ke peringkat global.

"Kejayaan projek jangka masa panjang ini akan menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM0.83 bilion serta mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 6,629 menjelang tahun 2020," katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) yang ingin tahu hasrat kementerian untuk melahirkan usahawan Internet secara meluas pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, penekanan dan perhatian yang serius dalam perdagangan elektronik atau online diberikan kerana ia akan menjadi pemacu dan pemangkin kepada perkembangan dan petumbuhan ekonomi domestik.

"Usaha-usaha yang dirangka ke arah menggalakkan penggunaan perdagangan elektronik sudah tentu akan membantu usahawan dan golongan PKS dalam menceburi industri ini," katanya.

Tan berkata, kementerian sedang merangka program yang bertujuan menggalakkan pembabitan peniaga dalam perdagangan elektronik serta membina keyakinan pengguna dalam menjalankan transaksi elektronik.

Pada masa sama, beliau berkata Akta Perdagangan Elektronik 2006 sedang dikaji untuk dipinda bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan elektronik di Malaysia.
"Salah satu pindaan yang dicadangkan ialah tanggungjawab peniaga dalam memastikan maklumat penting dipaparkan dalam laman web," katanya.

Tan berkata, beliau yakin inisiatif itu dapat menambah keyakinan pengguna untuk menjalankan transaksi perniagaan dengan lebih mudah.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url