Denda Lebih Berat Menanti Penunggang Motosikal Degil

Penunggang motosikal yang melanggar peraturan trafik serius seperti tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat dan tidak berhenti di lintasan pejalan kaki akan dikenakan denda maksimum RM300.

Di bawah peraturan yang berkuat kuasa bulan lalu, tiada lagi diskaun akan ditawarkan pihak polis mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal.

Sebelum ini, penunggang motosikal yang melakukan kesalahan sedemikian ditawarkan pengurangan denda antara RM70 dan RM100 bagi semua kesalahan lalu lintas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata hukuman tersebut dikenakan kerana pihak berkuasa sangat bimbang terhadap peningkatan jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun, kira-kira 12,000 penunggang dan pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalan raya.

“Sebagai contoh, kita tidak akan bertolak ansur dengan penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar kerana ramai yang maut dalam kemalangan jalan raya.

“Oleh kerana, harga sebiji topi keledar kurang daripada RM50, tiada alasan untuk mereka tidak memakainya dan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya,” katanya kepada The Star.

Kesalahan lain yang akan dikenakan denda sebanyak RM300 adalah menggunakan telefon bimbit, memotong dari arah kiri, mengekori pemandu kereta terlalu rapat dan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

“Amat menyedihkan lebih 60 peratus kematian jalan raya yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah berpunca daripada memandu melebihi had laju dan tidak memakai topi keledar. Kita perlu segera hentikan perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, bagi kesalahan-kesalahan lain masih ada diskaun yang ditawarkan apabila membayar denda.

“Kami akan mengurangkan denda sekiranya pesalah membuat bayaran segera bagi kesalahan yang tidak serius,”

Solah berkata penunggang motosikal yang membuat pusingan U ditempat yang tidak dibenarkan serta gagal berhenti di lintasan pejalan kaki kanak-kanak sekolah mereka akan diberikan diskaun dan hanya perlu membayar denda RM100 sekiranya mereka membayarnya dalam tempoh dua minggu.

Jumlah denda akan meningkat kepada RM250 sekiranya ia dibayar selepas tempoh dua minggu yang ditetapkan.

Bagi penunggang motosikal yang meletakkan kenderaan di sebelah pili bomba, di laluan pejalan kaji dan menghalang laluan jalan raya raya kompaun bagi kesalahan tersebut juga telah dinaikkan dari RM60 kepada RM100 sekiranya ia dibayar dalam tempoh dua minggu.

Sekiranya, mereka membuat bayaran dalam tempoh sebulan denda yang dikenakan adalah RM150 namun selepas tempoh tersebut denda yang dikenakan akan meningkat kepada RM250.

Bagi mereka yang gagal mempamerkan pelekat, ‘P’ pada nombor plat kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak mempamerkan nombor plat pendaftaran yang telah diubah suai denda yang akan dikenakan adalah antara RM60 hingga RM120.

Namun, diskaun sebanyak RM40 diberikan bagi denda yang dibayar dalam tempoh dua minggu dan RM70 bagi denda yang dibayar dalam tempoh sebulan daripada saman dikeluarkan.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url