Gaji RM900 Permulaan Baik, RM1,200 Paling Relevan - Cadangan MTUC
Bagaimanapun tuntutan yang dibuat pada tahun 2000 itu agar kerajaan menggubal Dasar Gaji Minimum masih belum lagi dilaksanakan secara praktikal.
Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan berkata, gaji minimum RM900 dicadangkan selepas mengambil kira kos sara hidup pada ketika itu.
“Sama ada RM900 sebulan yang dicadangkan pada tahun 2000 itu masih lagi relevan berbanding dengan keadaan sekarang, ia perlu difikirkan sewajarnya.
“Jika kerajaan bersetuju untuk menjadikan RM900 sebagai gaji minimum, ia disifatkan sebagai satu permulaan yang positif bagi kakitangan swasta,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Mohd Khalid bagaimanapun berkata, persetujuan itu perlu diakui dalam Dasar Gaji Minimum sebagai satu mekanisme bagaimana pelaksanaannya dibuat secara teratur.
Jelasnya, gaji minimum itu perlu dikaji semula setiap tiga tahun untuk diselaraskan dengan keperluan semasa dan peningkatan kos sara hidup.
“Namun jika hendak diikutkan, gaji minimum sekarang paling relevan sepatutnya adalah RM1,200 berdasarkan tuntutan yang dibuat sejak 11 tahun lalu dengan kesesuaian kos sara hidup hari ini,” katanya.
Setakat ini, terdapat lebih 500,000 ahli MTUC dan dianggarkan antara lima sehingga enam juta pekerja di negara ini yang berkhidmat dalam sektor swasta.
Bilangan kakitangan swasta yang lebih tinggi berbanding 1.3 juta penjawat awam menunjukkan sektor itu turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Menurut Mohd Khalid, secara purata gaji pekerja swasta mereka paling rendah pada masa ini antara RM600 sehingga RM700.
“Namun berdasarkan kajian, antara 35 peratus sehingga 40 peratus pekerja-pekerja masih dibayar di bawah paras RM700,” katanya.
Rapat Jurang
Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan oleh kerajaan menjelaskan mengenai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi.
Mohd Khalid berkata, ETP jelas menunjukkan bahawa Dasar Gaji Minimum amat relevan untuk diwujudkan dan ini termasuk bantuan sara hidup untuk pekerja swasta.
“Dasar Gaji Minimum dapat menggalakkan lebih ramai tenaga tempatan mengisi kekosongan pekerjaan yang selama ini dibanjiri dengan pekerja asing,” katanya.
Menerusi pelaksanaan ETP, beliau mengharapkan ia dapat merapatkan jurang terlalu besar antara gaji pekerja biasa dengan pengurusan tertinggi.
“Ada pengurus besar yang mendapat gaji bulanan sebanyak RM50,000 sehingga RM100,000 sedangkan pekerja mereka dibayar hanya serendah RM600,” katanya.
Tidak dinafikan setiap keuntungan syarikat adalah baik tetapi jentera yang membantu mendapatkannya adalah pekerja selain modal dan kecekapan dalam pengurusan.
Tanpa bersikap prejudis ke atas mana-mana pihak, Mohd Khalid menggesa kerajaan supaya menentukan mekanisme terbaik untuk merapatkan jurang berkenaan.
“Bukanlah untuk menjadikan gaji pekerja bawahan itu setaraf dengan majikan tetapi biarlah ia munasabah bersesuaian dengan sumbangan mereka,” katanya.
Peluang terbuka
Dalam pada itu, Kongres Persatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini mencadangkan kepada kerajaan supaya kelayakan akademik minimum bagi pejawat awam dinaikkan daripada Penilaian Menengah Rendah (PMR) kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mohd Khalid yang mewakili sektor swasta berkata, kenaikan kelayakan itu adalah wajar namun apa akan berlaku kepada mereka yang kurang berkelayakan.
Menurut beliau, peluang pekerjaan bagi sektor swasta dibiarkan secara terbuka bagi sesiapa yang berminat selagi ada dedikasi untuk bekerja dan mempunyai kemahiran.
“Belum pasti mereka berkelayakan tinggi boleh melakukan kerja dengan baik namun segelintir yang kurang berkelayakan untuk berusaha untuk meningkatkan taraf hidup.
“Sesetengah pekerjaan dalam sektor swasta tidak memerlukan kemahiran. Apa yang lebih penting adalah kemahuan mereka untuk bekerja,” katanya.
Selain itu, ia dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini dan peluang terbuka itu dapat menarik minat rakyat untuk bekerja dalam mana-mana bidang.
Mohd Khalid berkata, sama ada berkemahiran atau tidak, paling penting bagi setiap pekerja adalah peningkatan kerjaya yang positif.
“Ini boleh dilaksanakan menerusi latihan dan kebajikan daripada majikan kepada mana-mana pekerja yang cekap, berkemahiran dan layak untuk dinaikkan pangkat.
“Bagaimanapun faktor penggajian juga amat penting bagi menggalakkan setiap kakitangan untuk terus bekerja bagi meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Selain gaji minimum dan bantuan sara hidup, MTUC turut mengusulkan cadangan cuti bersalin selama 90 hari, isu kebajiran pekerja asing dan masalah yang dihadapi oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
- MSTAR