Kaspersky lindungi gajet mobil
Apatah lagi apabila perkembangan teknologi menyaksikan lebih banyak produk peranti telefon pintar dan tablet berada di pasaran untuk memenuhi permintaan gaya hidup pengguna yang semakin canggih dan berdaya maju.
Peranti telefon pintar dan tablet hari ini boleh dianggap teman setia kepada pengguna untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Ia tidak lagi digunakan sebagai pengantara komunikasi semata-mata, tetapi mampu membantu melancarkan pelbagai urusan harian dan kerja pejabat.
Dalam rancak melayari internet melalui telefon pintar, mereka tidak menyedari bahawa pelbagai data penting dan maklumat sulit yang tersimpan dalam peranti tersebut boleh diceroboh melalui siber.
Rekod ancaman gajet mobil
Ia terbukti apabila peneraju perisian keselamatan dan pengurusan ancaman kandungan, Kaspersky Lab telah merekodkan 106 keluarga dan 514 variasi program berniat jahat menyasarkan peranti mudah alih pada pertengahan bulan Ogos 2009.
Pada penghujung 2010 pula, terdapat peningkatan mendadak apabila sebanyak 153 keluarga dan lebih 1,000 variasi program berniat jahat dikesan oleh Kaspersky Lab. Dalam erti kata lain, ia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 65.12 peratus berbanding tahun 2009.
Pengarah Pasukan Penyelidikan dan Analisis Kaspersky Lab (Eropah), Magnus Kalkuhl berkata, platform mudah alih seperti telefon bimbit dan tablet menjadi tarikan terbaru kepada penulis malware dan penjenayah siber hari ini.
“Kebanyakan telefon pintar kini mempunyai sambungan internet dan ia akan memudahkan lagi penulis malware serta penjenayah siber menceroboh peranti pengguna kerana peranti mereka tidak dilindungi antivirus. Begitu juga dengan tablet.
“Walaupun, telefon pintar dan tablet mempunyai sistem perlindungan sendiri, tetapi masih ramai yang tidak menggunakannya sehingga terdedah kepada ancaman siber,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Bahkan, dia memberitahu, data penting dan maklumat sulit yang terdapat di dalam telefon pintar mereka juga mudah dimiliki orang lain apabila berlaku kecurian atau pun kecuaian jika tidak berhati-berhati.
Ujarnya lagi, senario tersebut mungkin berlaku disebabkan kurang pendedahan dan kesedaran mengenai sistem penyelesaian keselamatan peranti mudah alih yang terdapat pada telefon pintar mahu pun pasaran.
Menyedari kepentingan peranti mudah alih perlu dilindungi, Kaspersky Lab mempunyai sistem penyelesaian keselamatan mudah alih terkini iaitu Kaspersky Mobile Security 9 untuk membendung pelbagai ancaman seterusnya melindungi hak pengguna.
Kaspersky Mobile Security 9 dapat membantu melindungi telefon pintar pengguna daripada serangan rangkaian dan malware. Ia boleh melakukan pelbagai perlindungan termasuk mengimbas antimalware, menghalang rangkaian berbahaya, mengemaskinikan secara automatik dan banyak lagi.
Kalkuhl menambah, sistem penyelesaian keselamatan mudah alih itu turut menawarkan proses untuk mengaburkan maklumat fail, data, imej dan banyak lagi supaya tidak dapat dibaca tanpa pengetahuan pengguna.
Katanya lagi, ia tentu sekali amat berguna apabila berlaku kecurian atau pun kehilangan telefon mereka. Terdapat juga Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang terbina dalam untuk membantu memainkan peranan apabila pengguna boleh mengetahui lokasi telefon pintar mereka.
Selain daripada itu, Kaspersky Mobile Security 9 turut didatangkan dengan fungsi terbaru dalam melindungi data peribadi. Pengguna hanya perlu menekan butang peribadi dan segala data tidak dapat dilihat oleh orang lain selain pengguna telefon pintar itu.
Ia juga dapat membantu ibu bapa memantau gerak-geri anak mereka apabila boleh menyekat panggilan, khidmat pesanan ringkat (SMS) malah, mengetahui kedudukan dengan menggunakan carian GPS.
Jenama dunia siber
Sementara itu, Timbalan Presiden Pemasaran Kaspersky Lab, Roger Wilson berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan jenama Kaspersky Lab lebih dikenali dalam dunia siber.
“Selama hampir 18 bulan pelbagai usaha telah dilakukan dalam penjenamaan semula Kaspersky Lab dan kami berjaya mengenal pasti lima kaedah utama.
“Lima kaedah tersebut ialah kepakaran berterusan, selalu di hadapan, berlainan, mengoptimumkan dan menyakinkan. Dalam singkatannya ialah RADOR,” kata lelaki yang cukup peramah itu.
Dia juga memberitahu, Kaspersky Lab telah menjengah pasaran baru di India, China, Amerika Latin dan Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Wilson turut ditanya mengenai pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif Kaspersky Lab, Eugene Kaspersky menjadi duta produk mereka.
Katanya, Eugene Kaspersky merupakan seorang berkarisma dan bersungguh dalam menyelamatkan dunia dalam talian.
“Dia mempercayai misi dalam menyelamatkan dunia dalam talian. Bagaimanapun, tidak semua produk yang menggunakan wajah dia sebagai ikon dan duta produk.
“Seperti di Asia, kita menjadikan Jackie Chan sebagai duta produk kerana dia lebih dikenali malah, negara-negara lain mempunyai duta mereka sendiri,” katanya.
Ujarnya lagi, Kaspersky Lab turut menjalin kerjasama bersama pasukan Formula Satu, Ferrari dalam perlumbaan penuh berprestij itu.
Katanya, terdapat juga produk khas Ferrari yang dijual Kaspersky Lab mengandungi logo dan permainan video Formula Satu untuk peminat sukan permotoran.
“Proses penjenamaan ini akan berterusan untuk memastikan jenama Kaspersky Lab terus dikenali dunia siber,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk Kaspersky Lab boleh melayari laman web www.kaspersky.com