Penjara dan denda jika naikkan harga makanan

KUALA LUMPUR 13 Mei - Peniaga yang didapati menaikkan harga minuman dan makanan berikutan kenaikan harga gula baru-baru ini akan berhadapan hukuman keras termasuk penjara seperti diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberi amaran itu menegaskan, akta yang baru dikuatkuasakan itu membolehkan kementerian bertindak segera terhadap peniaga menaikkan harga barangan tanpa sebab.

''Dalam soal kenaikan harga gula, kajian kementerian mendapati untuk secawan teh atau kopi, kenaikan (20 sen sekilo) hanya 0.4 peratus sahaja.

''Kalau ada kenaikan sampai 10 sen (secawan), kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010. Setakat ini belum ada peniaga dikenakan tindakan di bawah akta ini sejak ia dikuatkuasakan 1 April lalu.

''Saya sudah maklumkan kepada pegawai kementerian untuk pantau perkara ini, jika ada yang menaikkan harga minuman maka mereka akan menjadi 'kes percubaan' tindakan di bawah akta ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Kurang Gula Kurang Belanja di sini hari ini.

Syarikat korporat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda sehingga RM1 juta.

Bagi individu pula, akan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 1,600 pegawai pemantau harga telah digerakkan untuk memantau keadaan itu setiap hari sejurus harga gula dinaikkan.

''Pada masa sama, kita harap orang ramai akan memberi kerjasama dan melaporkan kepada kementerian sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga gula dan minuman,'' jelas beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan tidak bercadang menaikkan harga petrol RON95 buat masa ini di sebalik peningkatan harga semasa minyak mentah di pasaran dunia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url