Persoalan Agama: Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa

SOALAN:
Mengapa orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu, sedangkan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa terasa kosong. Boleh ustaz jelaskan.

JAWAPAN:
Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna.

Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.

Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?

Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.

Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.

Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.

Nabi SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu:
“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.

Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url