Rezeki Salih Yaacob dapat "pucuk muda"
Setiap pagi dalam perjalanan ke tempat kerja, dalam kebanyakan hari penulis tidak dapat menahan ketawa mendengar celoteh penyampai radio pagi Sinar FM yang begitu bersahaja dan memang kelakar.
Apatah lagi dengan pelbagai karakter seperti Abang Jam atau SY yang dihayati oleh pelawak terkenal Salih Yaacob, keadaan waktu pagi penulis memang agak happening. Malah penulis dapat merasakan pemandu-pemandu lain mungkin berasa pelik kenapa orang dalam kereta sebelah kelihatan ketawa terbahak-bahak atau seolah-olah bercakap seorang diri.
Namun penulis pasti ramai lagi di luar sana yang bersikap seperti penulis kerana adalah sesuatu yang terhad di Malaysia mempunyai pelawak seperti Salih yang mampu mengubah suasana pagi di dalam kereta yang kebiasaannya kelam dan mengantuk kepada suasana ceria dan gelak ketawa. Itulah kelebihan manusia berkebolehan seperti Salih Yaacob yang berkemampuan dalam bidang seni sebagai penyanyi dan pelakon serta dalam bidang pengacaraan.
Semua sedia maklum bahawa bidang pelawaklah yang telah banyak menaikkan nama beliau dalam arena seni tanah air. Bagaimanapun bakat Salih tidak terhenti setakat itu sahaja malah beliau turut membuatkan ramai lelaki di luar sana "cemburu" kepingin mahu menjadi sepertinya.
Manakan tidak berita terbaru beliau bakal mencukupkan kuota empat isteri seperti yang dibenarkan dalam Islam memang gempak!
Melihat kepada bakal calon isteri keempatnya, memang mana-mana lelaki pun akan tercabar kelakiannya. Sudahlah muda, anak dara baru berusia 24 tahun yang kini masih menuntut di UiTM jika dibandingkan dengan Salih yang kini mencecah usia 50 tahun.
Comel
"Abang comel, saya paling suka hidung dia," itulah dialog dari bakal isterinya yang dikenali sebagai Emi yang pasti akan membuakkan lagi semangat kelakian ramai kaum Adam di luar sana.
Salih dan Emi berkenalan di Pulau Pangkor, Perak pada November tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat.
Kata Salih, dia bercadang mengadakan majlis akad nikah secara sederhana terlebih dahulu sebelum menganjurkan majlis resepsi. Lebih berani lagi berkemungkinan besar Salih bakal mengadakan majlis persandingan secara serentak bersama tiga isteri dan bakal isteri keempatnya yang mana ia akan dibincangkan secara bersemuka tidak lama lagi.
Memang berita lelaki kahwin empat adalah biasa namun melihat kepada sikap sporting isteri-isterinya memberi "lesen besar" untuk buka cawangan lain, memang wajar lelaki lain di luar sana bersikap cemburu.
Sekadar bersembang biasa maka ramailah yang mengata apalah ilmu yang dipakai Salih sampai begitu "kasih dan sayang" isteri-isterinya memenuhi permintaan beliau.
Malah ramai juga yang tidak segan silu mengakui mahu berguru dengannya malah menganggap beliau sebagai "idola". Ada juga yang menyatakan mungkin beliau boleh buka kelas motivasi bagaimana mahu menjadi sepertinya. Pasti penuh kelasnya nanti.
Malah penulis tertarik dengan dialog seorang rakan penulis "dalam bab Salih Yaacob ni memang I follow," sambil ketawa tetapi kemudian menyambung kekagumannya terhadap lelaki ini dengan begitu bersungguh-sungguh. Bahaya ni, kata penulis di dalam hati melihat kepada kesungguhannya.
Tetapi penulis kemudian memberitahunya bahawa dalam kes Salih, bukan dia yang mencari tetapi wanita sendiri yang datang "menyerah" diri untuk disunting sebagai isteri.
Inilah keistimewaan yang jarang ada pada pengamal poligami lain, yang mana kebiasaannya perkahwinan kedua dan seterusnya berlaku lebih kerana tarikan "wang". Menambahkan lagi "perisa" kebanyakan perkahwinan kedua dan seterusnya ini berlaku tanpa pengetahuan isteri pertama apatah lagi mendapat keizinan mereka.
Bagi lelaki yang telah berkecimpung selama 30 tahun dalam bidang seni, petuanya hidup bahagia bersama isteri-isterinya adalah berterus-terang.
"Saya tidak perlu menyorok daripada mereka dan saya juga tidak perlu memburukkan isteri kerana apa yang saya lakukan bukannya salah. Saya bukan buat jahat, saya mahu berkahwin kerana saya ada kemampuan," kata Salih dalam satu wawancara yang pernah disiar di akhbar ini.
Katanya, dari segi hukum Islam seorang lelaki boleh berkahwin sampai empat orang tanpa kebenaran isteri. Tetapi menghormati undang- undang syarie yang ditetapkan, beliau akan meminta izin isteri setiap kali ingin berkahwin lagi.
"Saya tidak pernah berbohong kepada isteri apabila ingin berkahwin lagi. Walaupun bagi wanita bermadu itu pahit, saya bersyukur kerana ketiga-tiga isteri saya menerima ketentuan hidup ini," ujarnya.
Nafsu
Disebabkan sikap keterbukaan Salih dan ketiga-tiga isterinya - Norlizah Mamat, 47, Norraha Hamat, 43, dan Norfara Wahida Sulaiman, 33, hidup aman bahagia tanpa rasa cemburu atau benci bersama sebelas anak mereka termasuk dua dari perkahwinan terdahulu.
Namun satu perkara yang boleh kita katakan jarang dimiliki lelaki lain yang mahu berpoligami adalah, perkahwinan bagi Salih bukan sekadar sebab nafsu semata-mata. Tetapi katanya isteri yang dinikahi adalah mereka yang memahami al-Quran dan tahu hukum hakam agama.
Pernikahan baginya adalah ibadat, rezeki dan juga ilmu kepadanya. Ujarnya Iman adalah kunci kepada kebahagiaan perkahwinan dan dalam pertimbangan untuk berlaku adil, mengimbangi dan bertanggungjawab dalam hubungan dengan isteri, mereka diumpama sejadah buatnya.
Bagi Salih , mereka adalah amanah dan ibadat malah tidak pernah merancang untuk beristeri banyak. Tapi beliau menerima ketentuan Tuhan yang telah menetapkan ketentuan hidupnya berpoligami.
Kisah mengenai kewibawaan Salih berpoligami umpama satu dongeng mistik yang menjadi realiti. Memang diakui ramai di luar sana yang mengakui mampu berkahwin lebih dari satu namun ia hanya sekadar cakap-cakap kosong yang berdegar-degar bunyinya.
Ini kerana jika dinilai dari segi kemampuan batin, ramai yang mengakui kehandalan mereka. Namun berdasarkan kisah dan pengalaman mereka yang berpoligami ia adalah satu amanah yang sangat berat terutama dalam soal berlaku adil.
Apatah lagi bagi wanita soal berkahwin lain ini umpama satu taboo yang sangat meresahkan dan mampu merobek hati dan perasaan. Dari sudut lelaki memang mereka akan mencipta seribu satu alasan untuk membolehkan mereka berkahwin lagi tapi tidak bagi isteri yang semahunya menolak walaupun si suami memberikan pelbagai alasan mahupun "hadiah".
Walau sehebat mana pun Salih dalam berpoligami beliau masih tidak mahu mengumpulkan semua isterinya di bawah satu bumbung. Katanya kalau kaya raya sekali pun, mengumpulkan semua isteri serumah sangat mustahil akan berlaku.
"Saya kena jaga hati semua orang. Dalam setiap rumah tangga, saya harus berlaku adil. Jangan tunjuk hebat untuk himpun semua isteri dalam satu rumah kerana ini bukan tuntutan agama," kata Salih.
Jika kita lihat bakat melawaknya memang diakui beliau adalah antara yang terbaik. Malah penulis pasti ramai di antara wanita di luar sana yang mengagumi beliau secara diam di sebalik hilai tawa yang kedengaran setiap pagi.
Namun tidak perlu untuk berasa cemburu secara berlebihan kepadanya, yalah benda baik buat apa kita nak halang. Lagi pun ramai yang bersetuju bahawa beliau adalah contoh suami mithali terbaik.
Anggaplah "kehebatan" Salih ini umpama kisah lelaki yang sangat beruntung dikurniakan wanita yang tidak kisah berkongsi suami, antara segelintir kisah-kisah manis yang dilalui oleh seorang lelaki yang sangat bertuah.
- MINGGUAN MALAYSIA