SKM Diiktiraf Sijil Tunggal Vokasional, Teknikal Malaysia
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penyeragaman dan persijilan TEVT akan segera dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti latihan serta memastikan kaedah penyampaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Bagi memperkukuhkan penyampaian yang lebih inovatif dan meningkatkan pengambilan tenaga pengajar kapasiti Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) akan dipertingkatkan dengan menggunakan metodologi dan pendekatan latihan yang baru.
“Sebuah CIAST baru akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi menambah kapasiti tenaga pengajar dengan mensasarkan pengeluaran seramai 13,200 orang pelajar menjelang 2020,” katanya ketika merasmikan kempen ‘Skills Malaysia’ di Bangunan Perbadanan Putrajaya di sini, Khamis.
Muhyiddin berkata, TEVT mempunyai peranan yang amat penting dan harus dilihat sebagai laluan utama ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi sekaligus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi berpendapatan tinggi negara.
Justeru, peningkatan kualiti pendidikan dan latihan yang berteraskan kemahiran perlu diperkasa dan dijadikan sebagai agenda utama dalam memenuhi keperluan modal insan negara.
“Kita mensasarkan seramai 27,500 perantis akan dilhati dengan melibatkan 967 syarikat bagi tempoh 2011- 2015.
“Kerajaan sedang menyiapkan peluang yang lebih luas kepada lepasan latihan kemahiran dengan memberi laluan kepada peningkatan kemahiran tahap lebih tinggi setaraf dengan kelayakan ijazah bahkan jika boleh ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD),” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, melalui Kempen Skills Malaysia yang dilancarkan itu dapat mengubah persepsi negatif terhadap pendidikan berteraskan kemahiran.
”Diharapkan selepas ini TEVT bukan lagi mejadi aliran pilihan kedua ataupun terakhir bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam pencapaian akademik shaja tetapi akan menjadi aliran utama pelajar-pelajar terbaik di negara kita seperti yang berlaku di negara-negara maju.
“Dengan perubahan persepsi ini, saya berharap lebih ramai tenaga muda yang berpotensi menceburi bidang latihan berasaskan kemahiran tinggi sekaligus meningkatkan kebolehkerjaan mereka disamping meningkatkan daya saing negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kopmpetitif,” katanya.
- MSTAR