OPR naik 25 mata asas, SRR meningkat ke tiga peratus

KUALA LUMPUR 5 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada dua peratus kepada tiga peratus, berkuat kuasa 16 Mei 2011.

BNM dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, kadar terendah dan tertinggi OPR meningkat, masing-masing kepada 2.75 peratus dan 3.25 peratus.

Jelas BNM, ekonomi dunia mencatatkan pemulihan berterusan pada suku pertama 2011 tetapi pertumbuhannya amat tidak setara seluruh rantau.

''Pertumbuhan di negara-negara ekonomi maju sewaktu ini, kekal sederhana,'' kata kenyataan BNM.

Tambah BNM, keputusan menaikkan SRR diambil sebagai langkah awal untuk menguruskan peningkatan ketara mudah tunai yang mungkin mengakibatkan keadaan kewangan tidak seimbang dan kewujudan risiko ketidakstabilan kewangan.

Kata BNM lagi, SRR adalah instrumen yang digunakan untuk menguruskan mudah tunai dan bukan menandakan pendirian dasar monetari.

''Kadar Dasar Semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas setiap mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari,'' ujar BNM.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Jupiter Securities, Nazzary Rosli berkata, kenaikan OPR dan SRR itu merupakan 'senjata' yang digunakan BNM untuk mengekang inflasi.

Katanya, meskipun ramai menyangkakan OPR akan dikekalkan tetapi tekanan kuat kenaikan inflasi menyebabkan BNM bertindak untuk mengimbangi situasi itu.

''Tekanan kenaikan kadar faedah memang ada sebab itulah BNM membuat keputusan itu,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyifatkan kenaikan OPR dan SRR bolehlah diumpamakan seperti 'usaha mahu kurus dengan cepat'.

''Kalau hendak kurus cepat kenalah kurangkan makan dan bersenam, samalah langkah yang diambil oleh BNM ini,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi RAM Holding Bhd. Dr. Yeah Kim Leng percaya BNM bertindak menaikkan OPR dan SRR setelah mendapat isyarat bahawa tekanan inflasi negara berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Menurut beliau, tekanan inflasi hanya dapat dibendung dengan menaikkan OPR.

Malah, katanya, kenaikan SRR juga dipengaruhi oleh pengukuhan pinjaman bank sebanyak 30 peratus yang disumbangkan oleh segmen gadai janji dan sewa beli.

''Keadaan (pertumbuhan pinjaman) ini perlu diseimbangkan dengan situasi inflasi.

''Saya percaya BNM membuat keputusan terbaik untuk kestabilan negara,'' ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url