Suami Tidak Bertanggungjawab: Isteri Berhak Bubar Perkahwinan

Menjadi kewajipan bagi seorang lelaki beragama Islam yang bergelar suami untuk menyediakan kemudahan tempat tinggal, makan dan minum serta apa yang wajib diberikan kepada isteri serta anak-anaknya.

Menurut Peguam Syarie, Datuk Khairul Anwar Rahmat, pemberian nafkah tersebut adalah selaras dengan kemampuan suami serta adat dan budaya sesuatu tempat.

“Contohnya, kalau menjadi amalan makan tiga kali sehari di sesuatu tempat, maka suami haruslah menyediakan makan tiga kali sehari kepada isterinya.

“Kalau di Arab, sajian yang menjadi makanan utama ialah kambing, jadi suami yang mampu haruslah menyediakan kambing,” katanya kepada Mingguan mStar.

Khairul berkata, perundangan menetapkan suami perlu memberikan nafkah kepada anak lelaki sehingga berusia 18 tahun manakala anak perempuan pula menerimanya sehingga dia berkahwin.

Sekiranya suami tidak menunaikan tanggungjawabnya, katanya, isteri boleh memohon membubarkan perkahwinan berdasarkan Seksyen 53 Enakmen Keluarga Undang-undang Selangor.

“Tetapi ramai wanita tidak mengetahui hak mereka apatah lagi bekas suami tidak bayar nafkah,” katanya.

Jelas beliau lagi, isteri mungkin keliru adakah nafkah tersebut ialah nafkah dalam perkahwinan atau nafkah selepas bercerai sedangkan hakikatnya, nafkah itu harus diberikan kepada kedua-dua isteri dan anak-anak. Sementara itu, Khairul memberitahu, suami perlu memberikan nafkah edah kepada isterinya selama tiga bulan selepas perceraian. Selepas itu, anak dapat pula akan mendapat nafkah sehingga mencapai umur dewasa.

“Misalnya, jika seorang anak mendapat nafkah sebanyak RM500 sebulan, tiga anak akan mendapat RM1,500. Ini kerana hubungan anak dan bapa tidak pernah terputus,” katanya. Sekiranya suami tidak setuju dengan jumlah nafkah, katanya, maka dia boleh membawanya ke mahkamah.

Bagaimanakah cara-caranya?

> Failkan tuntutan nafkah di mana-mana mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.l Hendaklah sertakan maklumat suami seperti alamat tempat tinggal dan tempat kerja suami.

> Suami terima satu salinan borang dan perlu isi borang jawapan berkenaan tentang tuntutan isteri.

Seterusnya, suami akan mendapat satu tarikh untuk bertemu dengan pegawai pendaftar di mahkamah. Suami ditanya setuju atau tidak.

Jika setuju, dia mestilah akur dalam tempoh yang ditetapkan. Jika tidak setuju atau tidak mampu, suami perlu mengemukakan alasan wajar/ komitmen / tanggungan lain yang perlu ditanggung dan sertakan apakah jumlahnya dia sanggup bayar. Mahkamah kemudiannya membicarakan kes itu dan membuat keputusan.

Jika suami enggan bayar, maka dia bakal menghadapi tindakan berikut:

(a) Perintah penyitaan dan penjualan

- Mahkamah boleh merampas dan menjual harta alih penghutang penghakiman (suami) itu dan memberikan hasil jualan harta tersebut kepada anak-anak sebagai bayaran nafkah.

(b) Prosiding garnismen

- Mahkamah akan menahan harta alih kepunyaan suami yang berada dalam pemilikan atau kawalan pihak ketiga, atau hutang yang perlu dibayar oleh pihak ketiga tersebut kepada suami, dan hasilnya akan diberikan sebagai bayaran nafkah anak-anak.

(c) Perintah pengkomitan

- Mahkamah akan merampas dan menyerah kepada pemiutang penghakiman (isteri) mana-mana barang yang diperintahkan supaya diserahkan oleh suami kepada isteri sebagai bayaran nafkah anak-anak.

(d) Perintah penahanan pendapatan

- Mahkamah akan menahan pendapatan suami. Ini bagi membolehkan anak-anak mendapat nafkah terus dari pemotongan gaji tersebut.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url