Undi pos hanya untuk anggota keselamatan yang bertugas di luar negara dan di perbatasan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, bagi anggota keselamatan yang tidak terlibat, undi mereka adalah seperti undi awam, di mana penggunaan borang khas untuk undi pos tidak perlu digunakan lagi.
Katanya, undi anggota keselamatan ini akan dikenali sebagai ‘undi awal’ kerana mereka tetap akan menunaikan tanggungjawab dua atau tiga hari lebih awal seperti undi pos sebelum ini.
“Mereka datang ke pusat pengundian yang ditentukan dan kita hanya serahkan kertas undi untuk dipangkah. Tidak ada lagi borang dua.
“Kita akan laksanakan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam temu bual dengan Sinar Harian semalam.
Isu undi pos sering menjadi bahan kempen utama pihak tertentu yang menyifatkan undi tersebut sebagai penyelamat kepada calon-calon tertentu.
Ditanya sama ada SPR akan memperkenalkan peraturan baru pada PRU akan datang, Abdul Aziz berkata, ada beberapa peraturan yang akan diperkenalkan, termasuk membabitkan etika pemimpin parti yang bertanding.
Katanya, pada Pilihan Negeri Sarawak baru-baru ini, beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa mengeluarkan kenyataan supaya jangan mempercayai pengumuman yang dibuat terlalu awal oleh pemimpin tertentu.
“Ia melibatkan etika. Pemimpin ini mendahului SPR dengan membuat pengumuman mengatakan itu dan ini. Kita tidak halang kerana setiap parti ada ejen sendiri di pusat undi, tapi biarlah pemimpin ini beretika.
“Pada pilihan raya Singapura tempoh hari, semua pemimpin menghormati suruhanjaya pilihan raya mereka dengan tidak membuat pengumuman terlalu awal,” katanya.
- SINAR HARIAN