Perihal barang naik, barang turun

Oleh ABDUL JALIL ALI

Sehari dua ini ada yang naik, ada yang turun. Baik naik atau turun, terbukti kedua-duanya menyusahkan kita. Sebelum menyentuh yang naik, saya hendak bercakap mengenai yang turun.

Ada pun yang turun ialah kualiti udara. Menurut Jabatan Alam Sekitar cuaca panas dan jerebu menyebabkan indeks kualiti udara kita menurun 17 peratus Isnin lalu, iaitu dari 61 peratus menjadi 44 peratus.

Dalam waktu sama Jabatan Meteorologi merekodkan 19 kawasan di seluruh negara teruk dilanda jerebu termasuk Melaka, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu, Sepang, Ipoh dan Petaling Jaya.

Apabila kualiti udara menurun tentu sekali menimbulkan kesusahan. Pandangan menjadi kabur, kerja-kerja mengintip pun tergendala sebab banyak benda terlindung. Agaknya jika jerebu melanda Abbotabad minggu lalu, pasti tentera elit Amerika Syarikat tidak dapat mengesan Osama.

Menurut pihak berkuasa, jerebu melanda akibat cuaca panas dari ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina, dan melonjakkan suhu di tempat kita 36.2 darjah Celsius. Sudahlah pandangan kabur, tidur pun tidak selesa sebab jam 12 dini hari, dalam bilik panas membahang macam 12 tengah hari.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr David Quek menasihatkan orang ramai minum banyak air dalam cuaca panas begini untuk elak ‘dehydration’ yang memungkinkan kesukaran bernafas, pening dan lain-lain masalah.

Selain minum banyak air, saya suka mengingatkan kawan-kawan – terutama wanita, juga suami isteri – supaya jangan mendedahkan tubuh ketika tidur malam. Tidak kira panas macam mana, tubuh mesti ditutup dan tidurlah dengan gaya paling sopan.

Sebab, walaupun panas, dalam bilik tidak ada jerebu. Apabila tidak berjerebu, pandangan menjadi jelas lagi nyata. Almaklumlah sekarang musim video, takut-takut gelagat anda di katil tiba-tiba muncul di YouTube.

Demikianlah apabila kualiti udara menurun, kehidupan menjadi tidak selesa. Sekarang saya hendak cerita benda naik pula, iaitu perihal gula. Mulai Selasa lalu harga bahan pemanis itu naik 20 sen menjadi RM2.30 sekilogram.

Seperti biasa apabila ada barang naik harga, kita akan mendengar nyanyian dengan lirik sama, sengaja didendangkan untuk menyedapkan hati. Apakah kita masih suka dan terhibur dengan lagu ini?

Seperti ‘nyanyian’ Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zin Mohd Dom: “Harga runcit (gula) di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia (RM3.80), Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50).”

Juga lirik sama: “Dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun, iaitu kadar subsidi 20 sen sekilogram.

"Langkah ini selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat, dan kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun. Penjimatan ini boleh digunakan untuk membiayai projek kemudahan rakyat, termasuk pengangkutan awam.”

Harap-harap selepas beberapa kenaikan dan penjimatan ini sistem pengangkutan awam kita akan menjadi lebih baik – komuter dan LRT betul-betul menepati masa, bas yang sesak nafas lagi nyawa-nyawa ikan itu dinyahkan dari jalan raya kita. Marilah sama-sama kita berdoa, dan bertaruh.

Adalah diharapkan dengan kenaikan harga ini orang kita akan mengurangkan pengambilan gula seharian. Saya menyokong kenaikan harga gula, memandangkan kita adalah antara masyarakat termanis di dunia. Orang kita mengambil antara 17 hingga 26 sudu gula setiap hari, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan hanya 10 sudu.

Akibat terlalu bergula-gula, air kencing kita pun manis tidak terkira. Berdasarkan kajian Persatuan Diabetes Malaysia bilangan pesakit diabetes di negara ini kini berjumlah 1.2 juta orang, dan dijangka meningkat sehingga 2.5 juta orang menjelang 2030.

Tetapi, lebih ramai yang kencing tawar dan berasa resah dengan kenaikan harga gula 20 sen. Ada satu lagi lirik lagu yang sama setiap kali harga barang naik: “Kenaikan ini tidak akan membebankan pengguna.”

Untuk sehari dua ini lirik itu mungkin relevan. Sekurang-kurangnya 3,700 ahli Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) berjanji tidak akan menaikkan harga minuman.

Harap-harap janji itu tidak akan dimungkiri. Muslim tidak boleh mungkir janji! Demikianlah perihal barang naik dan barang turun yang terjadi sehari dua ini. Seyogia diingat dulu, kini dan selamanya, ada juga barang yang sekejap naik sekejap turun. Malah, ada yang naik tidak kira masa, di mana sahaja. Ini kita kena hati-hati juga!

- SINAR HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url