Hormatilah Ibu Sekalipun Berlainan Agama
DARI Asma' binti Abu Bakar r.a katanya:"Ketika terjadi genjatan senjata dengan kaum Quraisy, ibuku yang ketika itu masih musyrik datang kepadaku.
Lalu aku meminta izin Rasulullah SAW dengan berkata:"Ya Rasulullah! Ibuku datang kerana beliau rindu padaku. Bolehkah aku menemuinya?"Jawab Rasulullah SAW,"Ya boleh! Berjumpalah dengan ibumu."
Riwayat Muslim
Huraian Hadith:
1. Di dalam Islam suami dan ibu mempunyai kuasa yang besar. Kuasa suami ke atas isteri dan kuasa ibu ke atas anak-anak. Seseorang itu akan dimurkai Allah sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi.
2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Syurga itu di bawah tapak kaki ibu". Oleh itu anak-anak harus menumpahkan kasih sayang kepada orang tua mereka sekalipun mereka kafir dan ingkar terhadap Allah. Hal ini disebabkan ibu bapa adalah berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak.
3. Anak-anak harus mentaati ibu bapa mereka yang beragama Islam dalam urusan hidup yang tidak bertentangan dengan Islam. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar tetapi haruslah menasihati mereka dengan baik dan sopan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia