Kementerian Pelajaran Tidak Ubah Sistem Penggredan SPM
Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sistem ini bertujuan memberi penilaian tepat terhadap pencapaian murid-murid dalam peperiksaan berkenaan di samping memudahkan kerajaan memberi biasiswa kepada murid yang cemerlang.
"Sistem penggredan sekarang adalah sistem pemarkahan yang telah diubah mulai 2009 dari 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8D dan 9G kepada A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G. "Ini adalah bertujuan untuk memberi penilaian yang tepat terhadap pencapaian murid dalam peperiksaan berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.
Mariany ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji semula tentang pemarkahan dan juga penilaian terhadap peperiksaan SPM. Dr Mohd Puad berkata pertambahan bilangan calon yang mendapat keputusan A pada setiap peperiksaan bukan disebabkan pemarkahan yang rendah tetapi adalah sebahagian daripada kejayaan Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan transformasi pendidikan bagi pembangunan modal insan yang sempurna.
"Ini ditambah dengan dasar kerajaan dalam memperluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan," katanya.
Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan cemerlang calon-calon terbabit adalah menerusi dasar menghadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan penambahan dua mata pelajaran tambahan dalam SPM yang mula dilaksanakan tahun lepas, yang membolehkan calon memberikan lebih tumpuan kepada mata pelajaran yang diambil.
Selain itu, faktor kesedaran ibu bapa dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak di samping kerjasama erat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa bertambah demi kecemerlangan pelajar serta kemudahan untuk mengakses dan mendapatkan maklumat dan bahan rujukan di pasaran dan laman sesawang.
Sementara itu, Dr Mohd Puad berkata selain telah disahkan jawatan, guru-guru yang layak ditawarkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dipilih berdasarkan kepada had umur serta markah konsisten di dalam Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT).
Di bawah program HLP, guru-guru dalam perkhidmatan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana serta ijazah kedoktoran dalam bidang pendidikan guru.
- BERNAMA