Kerajaan Perkenal Semula Syarat Miliki SSPN Bagi Pinjaman PTPTN
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diwajibkan bagi menggalakkan budaya menabung sebagai persediaan membangunkan kelestarian PTPTN seiring dengan pelancaran semula SSPN.
"Pelajar dan orang ramai digalakkan membuka akaun dengan simpanan serendah RM20 pada bila-bila masa di cawangan bank terpilih bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN," katanya selepas merasmikan Seminar PTPTN bersama IPT, Majlis Pelancaran Semula SSPN dan Penyerahan Endowment Pendidikan di sini, Rabu.
Pada 2009 hingga 2011, syarat membuka akaun SSPN sebanyak RM20 tidak lagi dilaksanakan kepada pemohon PTPTN bagi membolehkan semua pelajar layak memohon pinjaman itu.
Dalam pada itu menurut Mohamed Khaled, proses untuk membuka akaun tersebut pada hari ini jauh lebih mudah berbanding tahun sebelumnya.
"Kalau dulu, nak buka akaun mengambil masa sehingga 14 hari tetapi hari ini, proses akan diselesaikan dalam tempoh sehari," ujarnya.
Bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN, Khaled Nordin berkata, para pelajar digalakkan membuka akaun menerusi Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, Bank Islam (BIMB), Bank Rakyat dan CIMB Bank.
Katanya, sejak akaun SSPN diperkenalkan pada 2004, sebanyak 990,000 akaun telah dibuka dengan kutipan deposit mencecah RM465 juta sehingga 2009.
Bagaimanapun, pada Januari hingga Jun tahun ini, kutipan deposit sebanyak RM41 juta dicatatkan menerusi pembukaan 21,000 akaun.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Khaled memberitahu PTPTN akan menentukan kriteria pelajar dari golongan miskin yang layak menerima bantuan pembiayaan pendidikan menerusi program sumbangan korporat (endowment).
"Sehingga kini, sumbangan daripada badan-badan korporat mencecah RM2 juta. Jadi segalanya terpulang kepada PTPTN untuk menguruskan dana dan mengenalpasti kriteria pelajar yang layak mendapat bantuan ini," katanya.
Jelas beliau, kaedah itu merupakan satu usaha baik bagi mana-mana badan korporat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka menyalurkan sumbangan kepada sektor pengajian tinggi.
"Jika sebelum ini, sumbangan yang ingin disalurkan tidak sampai kepada sasaran tepat, mereka boleh bekerjasama dengan PTPTN untuk membantu golongan tidak bernasib baik melanjutkan pelajaran," jelasnya.
Khaled Nordin berkata, pemilihan di peringkat awal pelajar yang layak menerima sumbangan di bawah program itu mungkin boleh ditentukan pada September ini.
Terbaru, PTPTN menerima sumbangan bernilai RM250,000 daripada badan korporat seperti Kuwait Finance House dan AmIslamic Bank Berhad untuk program tersebut.
- MSTAR
Tahun 2009 saya buka account utk anak pertama saya. Selepas 2bulan menunggu masih juga kad SSPN belum diterima. Lantas saya menghubungi pihak PTPTN selepas 1-2minggu kad sampai di tangan saya.
Kes sama berulang kembali dengan anak ke-2 saya. Saya membuka account pada May 2011. Sehingga kini belum menerima kad tersebut. Saya telah menghubungi pihak PTPTN pada 22/7/11. Kita tunggu dan lihat bila kad itu akan sampai ke tangan kami.