Top Ad 728x90

,

Portal bantu mangsa buli

Mangsa buli di sekolah kini boleh meluahkan perasaan serta mendapatkan panduan sewajarnya bagi menangani masalah itu dengan mengunjungi pusat sehenti di http://ebuli.upsi.edu.my yang dibangunkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob berkata, selain itu, ibu bapa dan guru juga boleh memanfaatkan laman web pelbagai fungsi berkaitan fenomena buli itu yang merupakan satu transformasi UPSI untuk membantu masyarakat melalui kaedah santai atau tidak formal.

"Bagi pelajar, laman web ini adalah tempat bagi meluahkan masalah yang mereka hadapi. UPSI mempunyai pakar-pakar dalam khidmat nasihat, bimbingan dan kaunseling yang akan membantu mangsa buli secara interaktif.

"Bagi ibu bapa, mereka boleh memanfaatkan web e-Buli UPSI untuk berkongsi pengalaman dan mengendalikan isu buli anak-anak," katanya ketika berucap pada pelancaran portal itu di sini hari ini.

Pelancaran portal itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Seramai enam pakar kaunseling dari UPSI bertanggungjawab mengendalikan portal itu terutama bagi tugas memberi khidmat nasihat kepada para pengunjung laman berkenaan.

Selain khidmat dalam talian, UPSI juga kini menyediakan 23 pakar kaunseling lain untuk melaksanakan modul melatih para guru dan memberi kesedaran kepada murid-murid mangsa buli di sekitar negeri ini mengenai tindakan yang harus diambil apabila menghadapi situasi itu.

Aminah menambah, mangsa buli perlu diberi perhatian sewajarnya kerana kebanyakan mereka didapati menghadapi masalah seperti trauma dan hilang keyakinan diri sehingga enggan ke sekolah bagi mengelakkan diri daripada terus dibuli.

Sementara itu, Mohd. Puad memberitahu, statistik kementerian menunjukkan kes buli melibatkan para pelajar sekolah di seluruh negara semakin berkurangan sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pada 2008, statistik menunjukkan seramai 3,107 kes buli dilaporkan di seluruh negara dan ia menurun kepada 2,889 kes pada 2009 dan hanya 2,617 kes, tahun lalu.

"Penurunan itu melibatkan semua aspek seperti kemampuan sekolah mengendalikan masalah buli, tindakan keras yang kita (kementerian) ambil seperti buang sekolah dan lebih penting, peranan ibu bapa dalam mendidik anak mereka," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90