Jumlah Pendaftaran Pengundi Baru Meningkat

PUTRAJAYA: Jumlah pendaftaran pengundi baru menunjukkan peningkatan ketara hasil usaha parti-parti politik di negara ini.

Namun kira-kira 40 peratus daripada pengundi baru yang sudah berdaftar disahkan tidak layak mengundi.

"Ada di kalangan mereka sudah meninggal dunia, bawah umur atau sudah berdaftar sebagai pengundi.

"Kami melakukan pengesahan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap pengundi sebenar dan menghapuskan nama-nama yang tidak layak mengundi. Kerja menjadi lebih sukar kerana kami perlu sentiasa melakukan semakan," kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada The Star.

Sehubungan itu, beliau berkata, parti politik masih mendaftarkan pengundi dalam jumlah tertinggi iaitu lebih separuh daripada pengundi baru yang layak mengundi.

"Jika dibandingkan dengan universiti dan badan bukan kerajaan (NGO), pengundi yang diperolehi daripada parti politik lebih ramai," katanya.

Pada Mei, sebanyak 52 peratus pengundi baru yang layak mengundi didaftarkan oleh parti politik.

Sebanyak 20 peratus didaftarkan melalui pejabat pos dan 13 peratus oleh jabatan kerajaan.

Sementara itu, SPR berjaya mendaftarkan 10 peratus daripada pengundi baru menerusi kaunternya dan program out-reach.

Universiti dan NGO masing-masing membantu mendaftarkan kira-kira tiga dan dua peratus pengundi baru.

Abdul Aziz berkata, SPR telah melantik parti politik, NGO dan Universiti sebagai pembantu pendaftar untuk memudahkan proses pendaftaran pengundi baru dan membayar RM1 untuk mengesahkan pengundi baru tersebut.

"Jika mereka mendaftarkan 1,000 pengundi baru dan hanya 600 layak mengundi, kami membayar RM600 kepada mereka," katanya.

Antara 2008 dan 2009, terdapat 10 juta pengundi berdaftar di negara ini manakala 4.3 juta pengundi layak untuk mengundi masih belum mendaftar.

Pada tahun ini, jumlah pengundi yang sudah mendaftar meningkat kepada 12 juta dan pengundi yang masih belum mendaftar menurun kepada 3.7 juta.

"Proses pendaftaran menjadi lebih mudah dan ringkas.Anda boleh pergi ke pejabat pos, universiti, kolej, jabatan kerajaan, NGO dan parti politik untuk mendaftar sebagai pengundi," tambahnya.

Jelas beliau, SPR di Malaysia merupakan satu-satunya negara yang melantik parti politik untuk membantu urusan pendaftaran pengundi baru.

Beliau berkata, pelantikan parti politik bagi memudahkan urusan pendaftaran adalah langkah wajar.

"Kami melantik purata dua pembantu pendaftar untuk setiap kerusi di setiap negeri. Oleh kerana mereka berminat, mereka bekerja keras untuk mendaftarkan pengundi baru.

"Apabila kami melakukan proses pendaftaran sendirian, maklum balas yang diterima tidak begitu memberangsangkan. Kami turut membuka kaunter di program Jom Heboh anjuran TV3 tetapi masih sukar bagi orang ramai untuk datang.

"Ini berkaitan dengan sikap. Orang ramai bertanya apa kebaikan yang mereka perolehi apabila mendaftar sebagai pengundi. Ada di kalangan mereka tiada semangat. Mereka bertanya apa akan berlaku jika mereka tidak mendaftar dan apabila mereka menyedari tiada tindakan diambil, mereka terus mendiamkan diri. Hanya mereka yang cintakan negara dan mahu memilih pemimpin terbaik akan mendaftar sebagai pengundi," jelasnya.

Abdul Aziz turut menasihatkan orang ramai untuk mengundi di tempat tinggal terkini mereka kerana ia disyaratkan dalam undang-undang.

Malah ia akan menyelesaikan isu pengundi hantu, di mana pengundi tinggal di tempat lain dari tempat mereka sepatut mengundi.

Tambahnya, orang ramai tidak perlu balik kampung untuk membuang undi.

"Jika saya tinggal di Shah Alam, saya tidak perlu balik ke Pulau Pinang atau kampung halaman saya untuk mengundi," katanya.

Beliau menjangkakan kira-kira 30 peratus hingga 40 peratus rakyat Malaysia mengundi di tempat atau negeri berbeza dari tempat tinggal mereka.

"Saya tiada kuasa memaksa mereka untuk mengundi di tempat tinggal mereka. Saya hanya boleh memberi penjelasan dan memujuk mereka," katanya.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url