Top Ad 728x90

Universiti Malaya bakal ambil pelajar tanpa Unit Pusat Universiti

KUALA LUMPUR 18 Julai – Universiti Malaya (UM) dijangka akan mengikuti langkah Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

UM kini sedang menunggu lampu hijau daripada Kementerian Pengajian Tinggi manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan sistem UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Bagaimanapun beberapa universiti awam lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganggap sistem UPU masih relevan.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, sistem pengambilan terus akan memberikan hak autonomi kepada UM dalam menentukan pelajar yang layak bagi mengikuti pengajian mereka di universiti tersebut.

“Saya melihat proses pemilihan pelajar tanpa melalui UPU ini akan menjadi lebih fleksibel kerana calon-calon yang layak akan melalui sesi temuduga sebelum terpilih untuk menyambung pengajian di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Unit Kemasukan dan Pengambilan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, USM telah memansuhkan penggunaan sistem UPU kerana mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

“USM adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam di negara ini yang telah diiktiraf sebagai Universiti Apex, kelebihan ini memberi ruang buat universiti kami untuk melaksanakan proses kemasukan pelajar tanpa melalui UPU.

“Berdasarkan pemilihan secara terus ini, kami mampu memperoleh pelajar yang bersesuaian dan menepati standard universiti yang telah ditetapkan,” katanya.

Timbalan Rektor Perhubungan Pelajar UIAM, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, sehingga kini hanya pelajar antarabangsa sahaja yang dipilih secara terus oleh pihak universiti.

“Pengambilan pelajar tempatan masih menggunakan sistem UPU kerana kami merasakan ia masih lagi relevan selain sistem itu dapat memudahkan pihak universiti memilih pelajar yang layak,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa berkata, pihaknya berpendapat sistem yang diguna pakai kini harus diteruskan kerana ia masih lagi relevan

“Melalui sistem UPU, Kementerian Pengajian Tinggi boleh membuat saringan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya pertindihan nama pelajar,” katanya.

Turut menyokong kenyataan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, yang memberitahu pihaknya masih bergantung kepada sistem UPU.

“Ini kerana sebagai sebuah institusi yang masih baru, kami belum mampu membuat pemilihan pelajar secara terus,” katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90