Ahli falak ramal Aidilfitri pada 30 Ogos 2011


Beberapa orang ahli falak yakin umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri pada Selasa, 30 Ogos ini berdasarkan kajian dan perkiraan hisab serta kedudukan anak bulan Syawal.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Tuan Syed Kamaruzaman Syed Kabeer, andaian itu dibuat kerana penentuan awal Syawal 1432H menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

“Berdasarkan perkiraan itu, anak bulan dijangka sudah cukup syarat untuk memulakan bulan baharu (Syawal) pada 30 Ogos ini,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tarikh sebenar hari raya tetap tertakluk kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, perkiraan hisab di negara ini turut diamalkan di negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.

Di Melaka, Ketua Bahagian Falak Syarie Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr. Kassim Bahali juga sependapat dengan Syed Kamaruzaman bahawa hari raya diramalkan jatuh pada Selasa kerana berdasarkan hisab, kedudukan bulan pada 29 Ogos ini bersamaan 29 Ramadan memenuhi kriteria Imkarnur Rukyah (kebolehnampakan).

“Hilal iaitu anak bulan dijangka memenuhi syarat minimum yang ditetapkan iaitu umur anak bulan sudah melebihi lapan jam.

“Anak bulan ialah cahaya bulan yang mula-mula kelihatan selepas ijtimak iaitu kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan,” katanya ketika dihubungi di Melaka semalam.

Beliau menjelaskan, berdasarkan faktor ini, 1 Syawal 1432 Hijrah dijangka jatuh pada Selasa, 30 Ogos ini.

- KOSMO!

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.