Pembinaan MRT Mungkin Bermula Januari 2012
"Tender pertama bagi pakej V5 dan V6 akan diberikan pada Januari atau Februari tahun depan. Berasaskan rancangan kami, menjelang akhir tahun depan, kesemua 18 pekej kerja akan diberikan," katanya.
Pakej V5 adalah bagi laluan dari Taman Bukit Ria ke Plaza Phoenix di Cheras beserta empat stesen. Pakej V6 adalah laluan dari Plaza Phoenix hingga ke Bandar Tun Hussein Onn beserta tiga stesen, katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat pertama pratender MRT kepada para kontraktor di sini.
Katanya, Prasarana akan mengumumkan senarai pendek kontraktor terowong bawah tanah menjelang awal bulan depan.
"Kami sedang memuktamadkan prakelayakan pembida," katanya. Prasarana telah menerima 15 permohonan sehingga ini.
Seksyen bawah tanah bermula dari Semantan hingga Maluri.
Ketika ditanya mengenai kriteria bagi para kontraktor untuk mendapat kerja MRT itu, Abdul Malik berkata mereka mesti menunjukkan keupayaan untuk melaksanakannya berasaskan keperluan Prasarana.
"Kami akan memeriksa peralatan dan keupayaan kewangan mereka. Kami juga mempunyai anggaran sendiri. Jika kontraktor menawarkan harga termurah tetapi tidak realistik, kami tidak akan menerimanya," katanya.
Prasarana telah menyenarai pendek 28 syarikat individu dan usahasama (JV)yang layak membida projek itu.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Sutinah Sutan mengingatkan para kontraktor menggunakan amalan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa bagi memastikan ketelusan di dalam pelaksanaan projek itu.
Katanya, suruhanjaya itu dan Ketua Audit akan mengawasi Perjanjian Integriti (IP) yang digunakan bagi projek MRT itu bagi memastikan amalan tadbir urus yang betul.
IP itu ditandatangani antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan rakan projek MRT, MMC-Gamuda pada Julai.
Projek pembinaan MRT diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) pada Jun tahun lepas.
Projek itu dijangka bukan sahaja meningkatkan ketidakcukupan rangkaian rel sekarang ini, malah juga mengurangkan kesesakan trafik yang buruk di kawasan metropolitan Greater KL.
- BERNAMA