Bagaimana mahu gigi kembali putih

Mempunyai sebaris gigi yang putih memang menjadi idaman sesiapa saja, namun bagaimana untuk mendapatkannya?

Pakar Pergigian dari Pusat Perubatan iHeal Kuala Lumpur, Dr. Nazli Haffiz berkata, rata-rata masyarakat negara ini terutama yang berbangsa Melayu dan Cina mempunyai gigi yang sedikit kekuningan.

Namun seandainya warnanya terlalu ketara kuning dan ditambah dengan sedikit warna seakan lebam, ia pasti membuatkan pemiliknya berasa tidak selesa serta kurang berkeyakinan.

Menurut beliau, masalah gigi kuning berpunca daripada beberapa sebab.

“Punca utama adalah faktor usia dan pengambilan makanan yang menyebabkan terhasil kekotoran pada gigi seperti kopi, teh dan minuman kola. Selain itu, tabiat merokok juga menyebabkan gigi mengumpul kekotoran dan berubah warna,” kata beliau.

Jelas beliau, ketika proses pembentukan gigi kekal, pengambilan sesetengah antibiotik atau florida yang berlebihan juga menyebabkan gigi berubah warna.

Rawatan pemutihan gigi

Dr. Nazli berkata, rawatan pemutihan gigi adalah satu prosedur kosmetik pergigian bagi mengembalikan warna asal gigi secara selamat.

Sesiapa saja boleh melakukan rawatan pemutihan gigi, namun begitu, mereka perlu melalui satu ujian terlebih dahulu.

Mereka yang mengalami sensitiviti, gigi berlubang dan sebagainya perlu melakukan rawatan bagi menangani masalah tersebut terlebih dahulu sebelum memulakan program pemutihan gigi.

Menurutnya, prosedur tersebut menggunakan asid cair dengan kepekatan sekitar 22 hingga 27 peratus bagi menghilangkan kesan kotoran pada gigi.

“Pengguna boleh memilih dua cara iaitu membeli kit rawatan dan melakukan sendiri di rumah atau menggunakan khidmat pakar bagi sepanjang rawatan di klinik gigi,” katanya.

Menurutnya, rawatan yang dijalankan oleh pakar lebih terbukti keberkesanannya kerana ia dilakukan dengan betul mengikut prosedur khusus.

Jelasnya, keputusan yang akan dicapai tidaklah terlalu menakjubkan dan biasanya gigi akan menjadi lebih cerah sehingga lima atau enam bayangan pada skala warna gigi.

Menurutnya, warna putih yang biasa kita lihat pada gigi selebriti bukan disebabkan rawatan pemutihan tetapi veneers iaitu menggunakan satu lapisan seperti topeng yang membalut dan memperbaiki struktur luar gigi.

Berbeza dengan rawatan pemutihan gigi biasa, proses ini hanya mengembalikan warna asal gigi. Mungkin ada yang beranggapan prosedur ini berbahaya dan boleh menyebabkan lapisan luar gigi menipis.

Bagaimanapun kata Dr. Nazli, perkara itu tidak benar kerana ia hanya menghakis kekotoran yang melekap pada permukaan gigi kerana asid yang digunakan cair.

Risiko

Ditanya mengenai risiko ketika rawatan dijalankan kata beliau ia sangat rendah seperti rasa pedih dan tidak selesa pada bahagian gusi jika seseorang itu mengalami masalah gigi sensitif.

“Ini disebabkan cecair pemutih terkena pada bahagian yang sensitif. Namun rasa itu biasanya tidak lama. Bahagian gusi juga ditutup sepanjang rawatan dijalankan,” kata beliau.

Menurutnya, keputusan prosedur adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada warna asal gigi mereka.

Rawatan pemutihan gigi juga katanya, tidak sesuai untuk mereka yang berusia 16 tahun ke bawah serta wanita yang mengandung atau menyusukan bayi mereka.

Prosedur hanya mengambil masa sekitar 45 minit dan ia

sesuai buat mereka yang ingin mengubah penampilan untuk sesuatu acara.

Dr. Nazli berkata, disebabkan pemutihan gigi menggunakan asid maka ia hanya dicadangkan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url