Darjah dan kedudukan ahli syurga berdasarkan amalan

RASULULLAH SAW menjelaskan bahawa syurga memiliki banyak darjat. Di sana juga ada perbezaan darjat antara hamba Allah yang bergantung pada amal mereka dan Allah yang mendatangkan amal itu.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menegakkan solat, berpuasa pada bulan Ramadan, berjuang di jalan Allah atau tinggal di tanah kelahirannya, menjadi hak Allah untuk memasukkan orang itu ke dalam syurga.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah tidak seharusnya kita memberi khabar gembira kepada manusia? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya di syurga ada seratus tingkat yang disediakan Allah untuk orang yang berjuang di jalan Allah, sedangkan jarak di antara dua tingkat adalah seperti jarak antara langit dan bumi. Jika kamu ingin memohon kepada Allah, mohonlah syurga Firdaus kerana syurga Firdaus berada di tengah syurga dan syurga tertinggi.

Disebutkan dalam sebuah hadis sahih dari Anas bin Malik bahawa Ummu Haritsah datang menghadap Rasulullah SAW sedangkan Haritsah termasuk mujahid yang gugur dalam Perang Badar kerana terkena anak panah.

Lalu Ummu Haritsah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah berbuat untuk Haritsah dari hati saya. Jika sekarang ia di syurga, saya tidak akan menangis untuknya. Namun, jika ternyata tidak, engkau akan melihat apa yang akan saya lakukan.

Rasulullah menjawab: Apakah syurga hanya satu? Syurga itu banyak sekali, sedangkan syurga tertinggi adalah syurga Firdaus.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ahli syurga itu memiliki peringkat, berdasarkan posisi mereka saat berada di syurga.

Dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga itu saling melihat antara bilik dari atasnya, seperti mana saling memandangnya bintang yang beredar dan yang tetap di ufuk timur atau barat kerana di antara mereka saling memiliki kelebihan.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah di sana ada posisi yang khusus bagi para nabi, yang orang lain tidak akan boleh sampai ke sana? Rasulullah menjawab: Tidak demikian, demi Zat yang diriku berada di dalam kekuasaan-Nya. Nabi akan berada satu posisi bersama orang yang beriman kepada Allah dan yang membenarkan rasul itu. (Sahih Bukhari)

Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Kesabaran adalah usaha mengerahkan seluruh kemampuan jiwa dan tetap konsisten berdiri tegak di depan Allah dengan hati penuh pengabdian. Ini adalah ciri orang yang dekat dengan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan bukanlah harta atau anak-anakmu yang mendekatkan kamu kepada Kami, melainkan orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, mereka itulah yang memperbaiki balasan yang berlipat ganda atas apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat yang tinggi (dalam syurga).

Sesungguhnya ramai orang yang memiliki darjat tinggi di syurga Allah antaranya syuhada, pengasuh anak yatim, orang yang mengurus janda dan orang miskin, orang yang hafaz al-Quran dan mengamalkannya.

Petikan daripada buku Bidadari, Syurga dan Penghuninya

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url