Top Ad 728x90

,

Halal Journal - Jumaatun lonjakkan industri halal


SEGALA-GALANYA bermula ketika dia bersama keluarga melancong ke Australia pada 2001. Sepanjang perjalanan ke negara kangaru itu, dia mencari makanan yang boleh dijadikan alas perut selain keliru terhadap status halal haram, menyebabkan dia terfikir sesuatu mengenai pentingnya panduan mencari makanan halal di negara asing.

Mungkin nasib menyebelahi Jumaatun Azmi, 34, apabila lakaran pertamanya, Halal Journal yang mengumpul data mengenai ribuan restoran dan pasar raya yang boleh dinikmati tanpa rasa curiga di negara asing, dianggap tepat pada masanya.

Sebagai insan pertama menggarap buku berkaitan konsep halal dalam pemakanan, sekali gus menjadi rujukan penting kepada mereka yang hendak melancong atau berhijrah ke luar negara, ia adalah usaha yang harus dipuji.

“Saya terpanggil melakar buku sedemikian apabila memikirkan makanan halal adalah masalah global dan menyulitkan ramai orang, terutama yang gemar melancong ke luar negara.


“Apabila diketengahkan konsep ini supaya menjadi medium perniagaan yang boleh dikembangkan, saya melihat ia daripada sudut mikro dan makro. Ertinya, konsep yang hendak dibuat mestilah menyeluruh dan perinciannya memerlukan ketelitian.


“Sebenarnya, Islam merintis segala kepakaran atau ilmu dalam pelbagai bidang, termasuk dalam aspek pemakanan, ada cara tersendiri. Apabila dunia dikuasai kapitalisme dan mementingkan keuntungan semata-mata, kita harus kembali kepada agama yang mementingkan nilai kebersihan. Ini kerana makanan adalah pembentuk darah daging dan isu halal haram jangan dipandang enteng.

“Untuk itu, kita harus bangkit dan mengambil kira banyak sudut pandang kerana perjuangan ini saya anggap ‘survival’ sejagat iaitu semua orang harus memainkan peranan tersendiri,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Islam sudah lama dimomokkan dengan pandangan sinis, bahkan dilabel dengan pelbagai imej buruk seperti ‘pengganas’, berfikiran sempit, kemelaratan dan pencetus pergaduhan, lalu dia menyarankan semua orang bersatu untuk menangkis serangan itu.

Hinggakan kepada kemelut dalam isu makanan, kata wanita ini, tiba masanya kita bangkit dan sensitif supaya tidak terus terlena dibuai mimpi.

Sehubungan itu, inisiatifnya mengadakan forum halal di peringkat antarabangsa dan menerbitkan Panduan Makanan Halal (Halal Food Guide) sekali gus membangunkan kerangka kerja awal Perbadanan Pembangunan Industri Halal di negara ini, sungguh berbaloi.

Di samping itu, program seperti Halal Journal TV, Halal Journal Award, Halal Restaurant Awards dan Halal Journal Workshop Series berjaya membuka mata banyak pihak sehingga ke arena antarabangsa.

Beliau juga mengasaskan anugerah pemenang bagi Panduan Makanan Halal secara bersiri yang meliputi lapan negara selain Kuala Lumpur, kota penting seperti London, Turki, Australia, Denmark, Eropah dan pelbagai lagi mampu memberi kemudahan kepada semua pengguna.

Sebagai Fellow Asia 21 dan diakui sebagai pemimpin muda global di seluruh dunia, baru-baru ini dia dipilih sebagai Fellow Bersekutu Pertubuhan Asia yang membina dan memupuk hubungan antara pemimpin di Amerika Syarikat dan Asia.

Tidak hairan mengapa pada 2007 beliau menerima anugerah Usahawan Baru Asia Pasifik 2008 (Kanada) dan Entrepreneur 2008 oleh Majlis Perniagaan Malaysia.

Lebih membanggakan, penerbitannya pula meraih anugerah di Madrid, Dubai dan Filipina dengan sambutan di luar jangkaan kerana negara luar dan negara bukan Islam antara paling banyak menyertai perbincangan atau seminar mengenai Jurnal Halal yang dianjurkan.

Usaha prolifiknya dalam menyebarkan pendekatan unik untuk komunikasi kreatif itu mendapat pujian media tempatan dan antarabangsa, termasuk Forbes, Guardian UK, The New York Times, Asian Wall Street Journal dan banyak lagi.

Ditanya mengenai pencapaiannya, anak jati kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini mengatakan ada hikmat tersembunyi di sebalik semua itu, menyebabkan dia semakin mendalami agama.

Menurutnya, al-Quran menggariskan bahawa perniagaan dirintis pada zaman Nabi Muhammad SAW membuktikan perkembangan perniagaan yang penuh inspirasi mampu menjana ekonomi.

Katanya, Islam sudah meletakkan batu asas kuat untuk umatnya meneruskan perniagaan mengikut syariat yang bersandarkan elemen halal serta tidak menindas sesiapa.

“Walaupun bukan insan sempurna dan tidak menjurus dalam bidang agama sebagai subjek penting di universiti, sebaliknya hanya bekas penuntut dalam media atau komunikasi massa, saya berhasrat membina kekuatan di bidang berkaitan makanan halal ini dengan lebih kukuh lagi.

“Memandangkan saya insan pertama menceburi bidang ini, ketika melakar journal ini tiada buku atau bahan untuk dijadikan panduan. Apa yang saya lakukan adalah atas inisiatif sendiri serta menghasilkannya dalam serba kekurangan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan apa yang memberangsangkan, penyertaan pelbagai negara dalam setiap persidangan di peringkat antarabangsa terus menyuntik semangat kepada saya.

“Penyertaan paling ramai adalah mereka yang mengeksport makanan ke negara Islam dan inisiatif menyertai industri halal adalah sesuatu yang bermakna. Ini kerana, pengeksport juga mengkaji pelbagai aspek agama, budaya masyarakat Muslim yang menjadi destinasi pasarannya dan mendapat gambaran lebih jelas mengenai agama Islam itu sendiri tanpa mengambil pendekatan negatif.

“Jika hal baik dapat dipraktikkan sebaik-baiknya oleh negara bukan Islam, mengapa kita sendiri tidak melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk kepentingan agama kita?

“Misalnya, kita mempertingkatkan lagi kualiti dan teknologinya supaya satu hari nanti kita sendiri memonopolinya,” katanya.

Mendasari konsep halal itu, Jumaatun menjelaskan betapa Islam itu sangat menghalusi nilai kebersihan dan aspek lain sehingga ke tahap memelihara dan menyembelih haiwan untuk dimakan juga memerlukan disiplin tinggi.

Katanya, bermula daripada pemeliharaan kepada penyembelihan memerlukan cara berhemah terhadap aspek penyembelihan binatang supaya tidak menzalimi walaupun mereka hanya makhluk atau spesies haiwan.

Dia turut mengakui walaupun tidak ‘layak’ bercakap perkara itu, namun apabila terbabit dalam perniagaan sedemikian ia dianggap platform terbaik bagi melonjakkan industri halal terus dikembangkan dengan jayanya.



INFO:

NAMA: Jumaatun Azmi
LAHIR: 26 November 1976
ASAL: Kampung Baru, Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengarah Urusan KasehDia Sdn Bhd

AKADEMIK: Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi Massa), Universiti Hartford, United Kingdom

STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Omar Nordin (10), Mulaika (8) dan Zahara (6)


- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90