Top Ad 728x90

,

Hantu Bonceng: Pemuda PAS Gesa Jakim Pantau Filem Berunsur Agama

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa supaya campur tangan terutama bagi memantau dan menapis karya filem tempatan khususnya yang mempunyai kaitan dengan agama Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, Jakim perlu bertindak tegas terhadap mana-mana penerbitan filem mahupun drama tempatan yang bercanggah dengan ajaran Islam selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan sendiri oleh pihak berkuasa agama itu.

"Apalah gunanya garis panduan setebal 44 muka surat jika tindakan atau penguatkuasaan tidak dilakukan.

"Kita minta Jakim bertindak lebih agresif dalam isu ini terutama apabila ia dilihat seolah-olah menghina dan mempersendakan Islam," katanya di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap filem Hantu Bonceng yang dikatakanmengandungi unsur mempersendakan Islam.

Menurutnya salah satu babak yang dilakonkan Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan Raja Lawak secara jelas menghina Rasulullah apabila beliau menyebut "Asyhadu anna Muhammadar syaitan".

Filem Hantu Bonceng arahan sutradara terkenal, Ahmad Idham berdurasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar semasa musim perayaan berjumlah RM5 juta dalam tempohlima hari tayangan.

Selain itu menurut Nasrudin, pihak penerbitan filem termasuk pelakon seharusnya lebih sensitif mengenai perkara berkenaan terutamanya yang bekaitan dengan akidah umat Islam.

"Penerbit filem seharusnya hasilkan filem yang lebih bermutu tanpa perlu memperolokkan kesucian Islam seperti melafazkan kalimah syahadah secara salah walaupun sekadar nak menggambarkan satu watak yang sedang dirasuk dan sukar untuk melafazkan kalimah syahadah.

"Perkara ini akan mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat awam apabila dia menyambung perkataan 'Muhammad' dan 'syaitan'...walaupun perkataan itu adalah berasingan.

"Kalimah syahadah tidak boleh dipermainkan kecuali beliau (pelakon) memang sedang dirasuk. Kalau betul (dirasuk), baru boleh kita anggap ia berlaku di luar daripada sedar," katanya.

Mengulas mengenai permohonan maaf secara terbuka Ziazan melalui akaun twitter, Nasrudin menyifatkan ia satu langkah yang cukup berani dan perlu dihormati.

Katanya kesediaan Zizan mencerminkan sikap rendah diri pelakon itu kerana sedia mengakui kesilapan walaupun yang tidak disengajakan.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90