Kita kurang kemahiran memandu

Oleh Prof Dr Abd Rahim Md Nor
Pakar Pengangkutan Awam dan Timbalan Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

SEPANJANG tempoh 15 hari Ops Sikap ke-24 sempena hari raya baru-baru ini, 19 orang maut setiap hari menjadikan jumlah terkorban 289 orang dalam masa dua minggu saja. Ketua Polis Negara pada sidang medianya di Bukit Aman pada 8 September lalu berpendapat operasi kali ini gagal dan kecewa dengan sikap orang ramai.

Di Malaysia, antara waktu subuh hari ini hingga waktu subuh esok, kira-kira 17 maut di jalan raya kerana kemalangan. Ini terjadi setiap hari. Jumlah ini besar bagi sebuah negara yang penduduknya pada ketika ini berjumlah sekitar 28 juta orang saja.

Kajian yang saya lakukan terhadap data kemalangan jalan raya di Malaysia mendapati angka 17 kematian sehari ini semakin stabil sejak lima tahun lalu. Maknanya kadar turun naik harian itu tidak berbeza sangat iaitu purata ini memang amat boleh dipercayai, tidak kira sama ada hari biasa atau hari cuti hujung minggu. Bagaimana pun, angka ini belum berjaya menakutkan orang ramai di negara ini.

Sebenarnya kalau berhati-hati, kemalangan tidak semestinya terjadi, tetapi di negara kita, masih ramai yang menganggap kemalangan jalan raya tidak boleh dielak dan ditentukan oleh takdir.

Ramai percaya setiap kemalangan jalan raya sudah ada tandanya. Misalnya, isteri atau suami atau anak atau saudara mangsa bercerita kononnya kelakuan orang yang meninggal dunia itu agak aneh beberapa hari sebelum peristiwa kemalangan.

Ada juga menyebut mangsa meninggal dunia kerana berpatah balik mengambil barangan tertinggal selepas beratus kilometer memulakan perjalanan. Kepercayaan tahyul ini menyebabkan mereka masih tidak sedar dan insaf bahawa punca kemalangan ialah kecuaian diri sendiri bukan kerana sudah takdir atau kerana suratan seperti dibayangkan perlakuan ganjil mereka beberapa hari sebelum peristiwa kemalangan.

Ops Sikap menunjukkan kesannya tetapi kejayaannya belum sampai pada tahap yang disasarkan kerana kebanyakan pemandu di Malaysia tidak mempunyai ‘kemahiran’ memandu.

Mereka hanya tahu memandu. Lesen memandu yang mereka peroleh itu bukan bukti mereka mahir memandu; mereka hanya tahu serba sedikit mengenai prinsip memandu lalu terus diberikan lesen.

Apabila mendapat lesen, mereka bebas bergerak di jalan raya, padahal ramai sebenarnya belum layak menempuh arus trafik dan akhirnya membahayakan diri dan orang lain.

Cara negara maju seperti di United Kingdom, Jepun dan Australia menguji calon yang memohon lesen memandu kereta dan motosikal amat berbeza dengan negara kita. Di Malaysia pemandu motosikal hanya diuji di litar memandu dalam pagar pusat ujian, sedangkan di negara lain mereka diuji juga di jalan raya seperti ujian terhadap pemandu kereta.

Kira-kira 15 tahun lalu, saya gagal dalam ujian memandu kali pertama di United Kingdom walaupun saya memiliki lesen memandu Malaysia selama lima tahun. Saya hanya lulus dan dianugerahkan British Driving License selepas mengambil ujian ulangan.

Penekanan ujian memandu di negara maju untuk mengesan kemahiran, bukan menguji pengetahuan.

Di negara kita latihan singkat selama 16 jam sudah mencukupi untuk melayakkan mereka diuji. Hakikatnya, mereka berlatih bukan dengan sekolah memandu tetapi hanya secara trial and error di jalan raya selepas mendapat lesen.

Keadaan negara kita kini sama keadaan di Jepun pada 1950-an. Ketika itu, kelakuan pemandu di Jepun seperti pemandu di Malaysia pada hari ini. Tetapi, setengah abad kemudian, iaitu Jepun kini antara segelintir negara yang kadar kemalangannya paling rendah di dunia.

Ini bermakna, dari segi kelakuan pemandu di jalan raya, Malaysia ketinggalan 50 tahun di belakang Jepun. Tetapi Malaysia mempunyai masa depan cerah dalam mengurangkan kemalangan jalan raya. Kajian yang saya lakukan terhadap data kemalangan jalan raya selama 15 tahun mendapati kadar kemalangan jalan raya di negara kita menurun dengan konsisten.

Bilangan kemalangan memang terus bertambah, tetapi kadar kemalangan berkurangan setiap tahun bagi tempoh 1995-2010. Dalam kajian kemalangan jalan raya, ‘kadar’ merujuk bilangan kemalangan berbanding sesuatu parameter yang relevan seperti jumlah kenderaan, bilangan pemandu dan ukuran panjang jalan raya.

Pada hari ini, dengan bilangan penduduk 28 juta, jumlah kematian di jalan raya di Malaysia ialah 17 orang setiap hari. Data sejarah membuktikan kita tidak mungkin menghapuskan angka positif ini.

Manusia tetap manusia, dengan segala kelebihan dan kekurangannya. Dengan kata lain, setiap hari mesti ada orang terkorban di jalan raya di negara ini, sampai bila-bila. Cuma matlamat kita dalam jangka masa terdekat ialah menurunkan angka kematian kepada digit tunggal, misalnya sembilan kematian sehari atau kurang.
Saya mencadangkan prosedur ujian memandu di Malaysia dirombak semula supaya dapat menghasilkan bakal pemandu yang bukan saja mempunyai ‘pengetahuan memandu’ tetapi juga ‘mahir memandu’.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url