Komunis - Asal Usul & Sejarah
Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
KOMUNIS adalah fahaman yang memiliki beberapa prinsip atau ciri asas utama. Dari sudut perjuangan, ia bersifat revolusioner di mana kaedah kekerasan (revolusi) menjadi pendekatan utamanya. Dari sudut politik, ia bersifat kuku besi (autokratik) dan anti demokrasi.
Dari sudut ekonomi pula, komunis anti pemilikan individu dan menganggap semua kekayaan adalah milik negara sepenuhnya. Manakala, dari sudut akidah, komunis adalah fahaman yang bersifat atheism atau tidak mempercayai Tuhan.
Fahaman yang diasaskan oleh Karl Marx (1818- 1883) ini menganggap realiti kehidupan dan budaya sebagai wujud dialektika. Ia bermaksud sejarah masyarakat adalah manifestasi perjuangan atau pertarungan kelas (class struggle). Asas perjuangan kelas yang tonjolkan dalam teori Marx ini adalah disebabkan beliau mempercayai bahawa kehidupan ditentukan sepenuhnya oleh material (benda).
Bertolak dari premis inilah Marx menyatakan interaksi manusia adalah berasaskan kepada aktiviti ekonomi (benda) semata-mata. Bagi Marx serta pendukungnya menganggap ‘kesamaan ekonomi’ (economy equality) adalah tujuan utama yang mesti dicapai dalam masyarakat. Ia hanya boleh dicapai sekiranya ditegakkan kerajaan komunis.
Jelaslah bahawa akidah komunisme adalah akidah kebendaan, iaitu sesuatu yang bercanggah dengan akidah Islam yang menekankan aspek tauhid adalah asas kepada hakikat kehidupan sebenar. Doktrin Marx tentang moral dan agama menyebut bahawa nasib manusia sepenuhnya di tangannya sendiri, bukan di tangan Tuhan. Justeru, dalam ajaran komunisme tidak ada konsep ‘eskatologi’ atau kepercayaan kepada hari kemudian (hari akhirat).
Komunis menganggap mereka yang percaya kepada Tuhan adalah berada dalam khayalan dan ia tidak lebih sebagai satu pelarian dan impian untuk lari daripada penderitaan hidup. Komunis menganggap agama adalah candu bagi rakyat.
Seperti yang disebut awal rencana ini bahawa Marx menggunakan teori ‘pertentangan kelas’ (dialektika) di mana dalam masyarakat wujud dua kelas utama iaitu ‘bourjois’ (kaum kapitalis yang berkuasa) dan ‘proletar’ (golongan buruh) yang tertindas. Untuk mengubahnya maka Marx menyeru kepada revolusi.
Di antara revolusi penting yang mengangkat komunisme sebagai ideologi politik antarabangsa ialah Revolusi Bolsheviks pimpinan Lenin pada 17 Oktober 1917.
Revolusi ini berjaya menumbangkan kekaisaran Russia dan membunuh semua musuhnya termasuk kaum beragama. Pada permulaan kebangkitan Bolshevik mereka mengajak kaum Muslimin di Russia untuk bersama-sama menentang ‘Tzar’ (raja) yang zalim. Mereka membuat janji manis untuk membela nasib kaum Muslimin.
Untuk menawan hati umat Islam di Russia ketika itu maka mereka turut menggunakan ayat-ayat al-Quran tentang tanggungjawab menegakkan keadilan dan kesamarataan. Namun, setelah kaum sosialis itu berjaya dan menubuhkan negara komunis di Russia maka mereka mula merancang menindas dan menghapuskan umat Islam. Mereka mendesak kaum Muslimin untuk memilih sama ada menjadi komunis atau dibunuh.
Pada Februari 1918, mereka memusnahkan pemerintah Turkistan yang beragama Islam. Tindakan jahat mereka itu mengorbankan 800,000 umat Islam. Apabila bangkit pemberontakan Bamachi di kalangan orang Islam, maka komunis terus memerangi umat Islam selama 13 tahun (1921-1934). Pada 1931 mereka berjaya menangkap dan membunuh pahlawan Islam bernama Ibrahim Beg.
Hakikatnya, mereka ialah satu kaum yang amat suka berdusta dan mengkhianati janji. Mereka juga berdusta dalam soal pengagihan kekayaan.
Perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan ekonomi dengan meruntuhkan kapitalisme dan kerajaan bukan komunis adalah pembohongan semata-mata. Benarkah mereka menentang kapitalisme untuk menegakkan keadilan ekonomi?
Jawapannya tidak. Buktinya mereka tidak pernah menentang secara serius konsep dan amalan ‘riba’ yang ditentang Islam. Malah, dalam realiti sejarahnya pemodal-pemodal dan penguasa bank-bank antarabangsa yang kaya raya telah banyak membantu pergerakan sosialisme yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan komunisme. Perlu difahami bahawa masyarakat sosialis adalah tahap pertama sebelum masyarakat komunis sebenar dibentuk.
Dalam Revolusi Bolshevik, orang-orang kaya telah membiayai gerakan sosialisme yang kononnya untuk merampas harta kekayaan pemodal-pemodal yang menindas tetapi apa yang berlaku ialah mereka akhirnya menjadi orang yang menguasai kekayaan di bawah sistem komunis. Di mana-mana negara komunis, golongan yang hidup mewah dan penuh kesenangan ialah golongan pemimpinnya.
Di tanah air kita, Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1930 atas arahan Komunis Antarabangsa (Comintern) telah melakukan revolusi bersenjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Perjuangan bersenjata mereka itu menyebabkan negara diisytiharkan darurat (1948-1960).
Bentuk penentangan yang dilakukan komunis melalui serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar telah mengorbankan banyak nyawa dan kecederaan serta kecacatan kekal di kalangan anggota keselamatan dan orang awam. Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.
Tidak sedikit penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang dialami rakyat akibat kekejaman komunis itu. Seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang (Manja Mohd. Ludin, 1990).
Sebenarnya terlalu banyak kekejaman dan kejahatan yang dilakukan komunis di tanah air kita yang membabitkan anggota keselamatan dan orang awam yang tidak berdosa. Di antaranya ialah:
* Pada 13 Disember 1948 pengganas komunis membakar bangunan anak-anak yatim di Serendah, Selangor membunuh seorang pengawas di rumah kebajikan itu.
* Pada 5 Julai 1949 pengganas komunis melemparkan sebutir bom ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan sarkas di Kampar, Perak. Empat orang terbunuh dan 46 orang cedera termasuk kanak-kanak dan wanita sedang mengandung.
* Pada 12 Ogos 1949 pengganas memasuki rumah para buruh di Ladang Jany, Selangor dan merompak wang tunai dan barang-barang kemas. Sebenarnya terlalu banyak tindakan komunis menceroboh, merompak dan membakar rumah pekerja.
* Pada 21 Sept 1949 pengganas komunis di daerah Plentong, Johor Bahru melemparkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ke dalam api yang sedang marak menyala. Komunis turut membunuh kaum keluarga kanak-kanak malang itu.
* Pada 4 Februari 1950 pengganas komunis membakar kampung di Simpang Tiga, Perak mengakibatkan 1,000 orang kehilangan rumah.
* Pada 23 Februari 1950 Komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong, di Hulu Sungai Muar secara serangan hendap menyebabkan 25 jiwa terkorban (19 orang anggota polis, 2 orang isteri dan 2 anak anggota polis serta orang awam).
* Pada 27 Februari 1951 serangan bom tangan di panggung wayang Wah Lok, Sungai Siput mengakibatkan tiga orang mati dan 13 cedera.
* Pada 7 Oktober 1951 Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney mati ditembak dalam serangan hendap oleh pengganas komunis di Batu 56 ½, Jalan Kuala Kubu Bharu (Bukit Fraser).
* Pada 21 Februari 1952, sebuah kenderaan polis diserang hendap di kawasan Taiping, Perak. Lima anggota polis cedera parah.
* Pada 18 Oktober 1954, Balai Polis Chua Seng di Pontian, Johor musnah dibakar komunis. Empat anggota polis terkorban dan tujuh lagi cedera parah.
* Pada 9 Mac 1955, empat orang asli dibunuh oleh pengganas komunis di Sungai Landor, Ipoh.
* Pada 7 Jun 1974 komunis menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Kuala Lumpur.
* Pada 26 Ogos 1975 Tugu Negara dibom komunis. Kejadian pada jam 5 pagi itu telah memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung.
* Pada 13 November 1975, Komunis menembak mati Ketua Polis Negeri Perak Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh.
Daripada kronologi peristiwa kedurjanaan komunis itu menunjukkan bahawa walaupun negara telah diberi kemerdekaan oleh British, tetapi mereka tetap melakukan onar di sekitar 1960an dan 1970an. Jika benar mereka berjuang untuk kemerdekaan, sepatutnya mereka memberhentikan segala kejahatan dan membubarkan perjuangan mereka.
Namun, oleh kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan komunis di negara ini maka mereka tetap meneruskan keganasan mereka.
Apa pun kita bersyukur kerana segala rancangan jahat mereka berjaya disekat oleh kerajaan dengan menggunakan Akta Darurat 1948. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989. Namun, Chin Peng (Ong Boon Hwa) dalam bukunya My Side Story tetap menyatakan kebanggaannya terhadap ideologi tersebut.
Yang menyedihkan kita ialah hari ini terdapat di kalangan pemimpin Pas sendiri mula menimbulkan keraguan di kalangan rakyat dengan mengangkat tokoh-tokoh yang berpakat atau menggabungkan perjuangannya dengan komunis sebagai hero. Sepatutnya analisis sejarah kita harus melihat perkara pokok yang lebih besar, iaitu impak perjuangan komunis terhadap tanah air sekiranya PKM berjaya dalam perjuangan bersenjata mereka.
Cuba kita bayang dan fikirkan seandainya perjuangan komunis di Tanah Melayu itu berjaya, maka kita sebenarnya akan dikuasai dan dijajah oleh ideologi komunis yang anti agama dan anti demokrasi. Saya yakin, keadaan yang serupa akan berlaku seperti mana yang berlaku di Russia selepas Revolusi Bolshevik. Aktivis -aktivis kiri Melayu yang mendukung atau berpakat dengan komunis itu pasti akan diperdayakan seperti mana komunis memperdayakan umat Islam di Russia.
Kesimpulan, perjuangan PKM bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana tujuan mereka adalah menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. Orang Melayu dan bukan Melayu yang waras harus sedar bahawa ia pada hakikatnya merupakan satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali.
- UTUSAN