Penggunaan Tayar Toreh Punca Kemalangan Jalan Raya - JPJ
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Datuk Zakaria Man berkata tayar toreh atau terpakai kini popular di kalangan pemilik kenderaan kerana harganya lebih murah.
"Walaupun setakat ini belum ada kajian yang dibuat bagi membuktikan kedua-dua jenis tayar tersebut menjadi punca kemalangan tetapi penggunaannya perlu disekat segera kerana banyak kemalangan yang berlaku dilihat membabitkan penggunaan tayar berkenaan.
"Tayar tersebut semakin popular kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding tayar baru yang mahal berikutan harga getah yang meningkat sejak beberapa tahun lepas di pasaran dunia," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri JPJ Temerloh di sini.
Beliau berkata tayar toreh dilihat mudah meletup kerana lapisan tayar menjadi nipis apabila ditoreh untuk membuat bunga baru.
"Manakala tayar musim sejuk iaitu tayar terpakai dari luar negara yang tidak sesuai dengan permukaan dan suhu jalan raya di negara ini yang panas dan dipercayai menyebabkan banyak kenderaan mudah terbabas," katanya.
Pada perkembangan lain, Zakaria berkata kemalangan di Pahang berjaya dikurangkan semasa perayaan Aidilfitri baru-baru ini berikutan penguatkuasaan di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko kemalangan. "Kita berharap pengguna jalan raya semakin sedar betapa pentingnya sikap berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak," katanya.
- BERNAMA