Asas Vokasional Untuk Tingkatan 1 - 3

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memperkenalkan mata pelajaran asas vokasional kepada pelajar mulai tingkatan satu hingga tingkatan tiga dalam usaha mentransformasi sistem pembelajaran itu dengan mengambil Singapura sebagai model.

Ketika mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sijil akan dikeluarkan selepas itu dan pelajar terbabit akan diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat diploma sekiranya mereka berminat untuk meneruskan pelajaran dalam bidang vokasional.

Muhyiddin, yang berada di republik ini untuk lawatan rasmi dua hari, bercakap kepada pemberita Malaysia selepas melawat Institute of Technical Education dan loji pelupusan sisa pepejal Tuas South Incineration Plant di sini Selasa.

"Di Singapura, mereka sudah memulakan awal, di mana hampir 20 peratus daripada jumlah pelajar yang masuk ke sistem pelajaran mereka mengambil bidang vokasional.

"Yang kita lihat tadi di mana bahagian amalinya, praktikal itu hampir 70 peratus, yang berbaki itu ialah teori. Ini satu perkara yang penting kerana mereka perlukan kemahiran 'soft skill'," katanya.

Muhyiddin berkata, vokasional adalah bidang yang dilihat oleh Kementerian Pelajaran sebagai perlu menggunakan suatu model walaupun sistem di Singapura agak berbeza namun selari dengan dasar trasformasi vokasional yang dimulakan di Malaysia.

"Saya mencadangkan supaya kita mempelajari bagaimana cara Singapura melaksanakan projek ini dan kalau ada perbincangan di peringkat pegawai maka itu boleh diteruskan," kata beliau.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url