POS Malaysia keluar setem khas terowong SMART

POS Malaysia Bhd (POS Malaysia) menjangka setem khas yang akan dilancarkan pada minggu depan, menampilkan terowong SMART negara, akan habis dijual dalam masa sebulan.

"Sebelum ini, apabila kami mengeluarkan setem keluaran khas seperti sambutan ulang tahun ke-125 KTMB tahun lalu, setem itu habis dijual pada hari keluaran," kata Ketua Unit Filateli Setem POS Malaysia Yasmin Ramli kepada Bernama selepas prebiu khas di sini hari ini bagi koleksi khas setem dan sampul surat hari pertama "Terowong SMART - Kecemerlangan Kejuruteraan Bawah Tanah".

Beliau menjangka 6,000 pengumpul setem daripada pemegang akaun deposit perintah tetap Pos Malaysia akan menyambut baik pengeluaran setem berkenaan.

“Jangkaan sambutan yang baik itu berdasarkan trend sebelum ini,” katanya.

Selain daripada setem baharu pada saiz standard yang akan menampilkan pencapaian Malaysia dalam kejuruteraan bawah tanah, terdapat juga sampul surat hari pertama dan folder serta lembaran mini dengan setem lentikular pertama dunia menampilkan terowong bawah tanah. Ia juga akan menjadi setem pertama seumpamanya POS Malaysia.

Setem berkenaan juga untuk memperingati kecemerlangan 100 tahun MMC Corporation Bhd (MMC) yang membina terowong SMART melalui MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd.

Yasmin berkata, lembaran mini berukuran 80mm x 90mm dicetak menggunakan kertas "self adhesive security stamp paper" yang menghidupkan imej dalam setem itu.
Sementara itu, terowong SMART adalah nama singkatan bagi pengurusan tebatan banjir dan terowong jalan raya adalah projek di bawah inisiatif kerajaan persekutuan untuk mengurangkan masalah banjir di pusat bandar Kuala Lumpur.

Hadir sama pada acara hari ini ialah Ketua Pegawai Operasi PosNiaga, Datuk Mearia Hamzah, Ketua Pegawai Operasi SMART Tunnel, Mohd Fuad Kamal Ariffin dan Pengarah Kewangan MMC, Anwar Syahrin Ajib.

Sementara itu, Yasmin berkata, Pos Malaysia akan mengeluarkan setem khas mengenai institusi diraja Malaysia bulan depan.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url