Sahsiah Shera pikat Zahiril
AIR MATA yang bercucuran di pipinya menjadi simbol betapa pelakon dan pengacara Wanita Hari Ini di TV3, Shera Aiyob cukup terharu dan bersyukur kerana akhirnya dia selamat dan sempurna bergelar isteri pelakon Zahiril Adzim atau nama penuhnya, Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar.
Pemilik nama sebenar Nur Syahira Aiyob itu turut berkongsi emosi tersebut bersama ibunya, Nor Asmah Mohd. Ali, 50, yang turut menyaksikan anak sulungnya itu anggun duduk di pelamin rekaan Zaha Wedding Planner.
Mengenakan busana putih suci rekaan Hatta Dolmat, Zahiril, 27, dan Shera, 25, tidak dapat menyembunyi keterujaan bergelar suami isteri.
Pasangan pengantin yang sama padan itu selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Taman Tasek Indra, Ipoh, Perak Ahad lalu, sejurus ketibaan rombongan pengantin lelaki seramai 50 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan kesemuanya sepakat menyarung kostum berwarna merah hati tiba di kediaman pengantin perempuan.
Majlis akad nikah disempurnakan dengan pasangan dinikahkan oleh bapa Shera, Aiyob Shaharuddin, 53, dengan sekali lafaz sambil disaksikan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Ipoh, Yusri Abdul Rani pada pukul 10.10 pagi.
Pada majlis perkahwinan itu, Shera atau nama sebenarnya Nur Syahira Aiyob menerima wang hantaran sebanyak RM18,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan 13 dulang barangan hantaran dan membalas 11 dulang barangan hantaran.
Antara hantaran yang diterima pengantin lelaki termasuklah telefon pintar BlackBerry, al-Quran, set pewangi badan, kasut, buku bimbingan agama dan kek cawan. Barangan hantaran yang diterima pengantin perempuan pula termasuklah sepasang kasut, seunit i-Pad 2, seutas rantai mutiara, beg tangan, alat solek, coklat dan al-Quran digital.
Tegas tetapi manja
Usai menyarung cincin emas putih ke jari manis Shera, Zahiril yang tak lekang mengukir senyum secara spontan menyeka air mata yang masih tersisa di anak mata isterinya seraya mengucup dahi wanita yang bertakhta di sanubarinya itu.
"Syukur hasrat saya untuk memperisterikan Shera tertunai sudah. Selama ini saya mendambakan seorang wanita yang tidak berpura-pura dan sentiasa menjadi diri sendiri walaupun dalam apa keadaan sekalipun.
"Sebagaimana ketika dia masih anak dara, itulah juga peribadi yang bakal dibawanya selepas berumah tangga. Alhamdulillah, saya yakin ciri-ciri itu ada pada isteri saya," tuturnya.
Mula berkenalan ketika sama-sama membintangi drama Ada Sesuatu Yang Tertinggal awal tahun lalu sebelum hubungan mereka menjadi lebih rapat sejak hujung tahun lalu, ternyata sahsiah Shera yang berdikari, tegas tetapi manja benar-benar memikat hati Zahiril Adzim.
"Shera seorang yang manja tetapi dalam masa yang sama dia tegas dan berdikari, inilah antara ciri-ciri yang membuatkan hati saya sangat terpaut kepada Shera," luah Zahiril.
Dalam pada itu bagi Shera pula, Zahiril Adzim pada matanya adalah seorang lelaki yang mementingkan hubungan kekeluargaan dan yakin suaminya itu mampu membimbingnya ke arah membina keluarga yang direstui keluarga kedua-dua pihak dan dibekati Illahi.
"Dia seorang yang penyayang, kelakar dan sentiasa manis di mata saya. Paling membuatkan saya 'cair' kepadanya ialah sifat romantisnya. Malah, menurut Shera sikap suaminya yang juga berbakat dalam bidang penulisan terserlah dalam karya buku pertamanya yang berjudul, Bogel Menuju Tuhan.
"Puitisnya dia dalam nukilan buku pertamanya, Bogel Menuju Tuhan, begitulah juga dia meluahkan rasa cinta dan bahagianya ketika bersama saya," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.
11 orang anak
Diusik dengan bilangan anak diidamkan, Shera yang pernah membintangi filem genre seram Karak menegaskan dia tidak merancang dan menyerahkan urusan itu kepada Tuhan.
"Bagi saya, kalau satu pasukan bola sepak (11 orang) tak jadi hal, jika Allah kurnia seorang zuriat pun saya sudah bersyukur," seloroh Shera.
Zahiril yang mengukir senyum di samping Shera memberitahu ekoran jadual karier yang agak padat, mereka belum memikirkan destinasi bulan madu.
"Rasanya tak perlu tergesa-gesa berbulan madu, Allahamdulillah yang penting iaitu upacara akad nikah sudah selesai. Bila mempunyai cuti panjang, barulah kami berbulan madu," katanya.
Menyentuh soal karier, pemenang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem ke-23 pada tahun 2003 menerusi filem Kami The Movie itu menegaskan tidak pernah menghalang penglibatan Shera dalam industri hiburan biarpun sudah bergelar isteri.
Tambahnya, disebabkan dia dan Shera sama-sama pelakon, dia menyedari berlakon bukan sekadar lubuk mencari rezeki tetapi lebih kepada ruang untuk mencari kepuasan diri bagi pencinta seni.
"Saya beritahu Shera, kalau dia perlu berlakon sebagai pasangan kekasih dengan pelakon lelaki lain, hayati watak itu betul-betul. Tapi setakat di set penggambaran sahajalah, selepas itu Shera tetap hak saya," pesannya ringkas tetapi penuh makna.
Sementara itu tiga jam usai majlis akad nikah pasangan mempelai itu bernikah, mereka berangkat ke Dewan Perdana Kinding Hill, Bercham Height yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah keluarga Shera bagi majlis persandingan.
Majlis yang bertemakan perkahwinan ala Inggeris bermotifkan warna krim, putih dan hijau itu dimeriahkan hampir 3,000 tetamu termasuk rakan artis yang hadir menyerikan majlis persandingan antaranya Bront Palarae, Beto Khusairy, Azhan Rani, Intan Nor Saina, Zain dan penyampai radio Hot FM, Ikhwan.
Dalam pada itu, majlis resepsi pengantin lelaki pula akan berlangsung di Kelab Shah Alam, Selangor pada 27 November ini.
- KOSMO!