Ilmuwan Islam saingi National Geographic

SIRI dokumentari Islam di media tempatan sering mempunyai ciri yang tipikal. Nasihat, fakta sejarah, emosi dan juga kerangka fahaman Islam konvensional.

Isi kandungan dokumentari Islam juga seringkali dapat diagak oleh para penonton kerana persamaan pendekatan, skrip dan juga elemen normatif yang disogokkan.

Tidak mustahil jika pihak media penyiaran di Malaysia sendiri tidak bersungguh di dalam mempromosikan dokumentari Islam, hatta yang mereka terbitkan sendiri.

Hal ini berlainan pula dengan sambutan yang mereka tunjukkan kepada rancangan ala-hiburan seperti rancangan realiti. Para penonton pun seringkali merupakan kelompok yang sama dan majoriti penonton sering gagal disentuh oleh dokumentari-dokumentari Islam berkenaan.

Akhirnya, apa sahaja dokumentari Islam yang diterbitkan, seakan ada persepsi di kalangan masa tentang isi kandungannya, penyampaian dan fakta yang seringkali bersifat stereotaip.

Atas kesedaran inilah, penerbit rancangan Ilmuwan Islam Primeworks Media cuba menongkah arus dan menyanggah persepsi. Walaupun siri dokumentari Ilmuwan Islam diterbitkan sejak tahun 2005, namun di dalam siri tahun 2011, ia diterbitkan dengan banyak pembaharuan dan penambahbaikan.

Penerbit cuba menggabungkan di antara dunia akademik dan juga dunia penyiaran. Untuk tujuan tersebut, khidmat pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Maszlee Malik ditagih untuk menjalankan kajian ke atas topik yang menjadi subjek utama perbincangan Ilmuwan Islam siri 2011.

Konsep pembuatan dokumentari berteraskan kajian akademik dan kerjasama di antara pihak media penyiaran dengan menara gading bukanlah sesuatu yang baru di dunia barat.

British Broadcasting Corporation (BBC), al-Jazeerah, National Geographic dan lain-lain media penyiaran terkemuka telah berdekad mengamalkan budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kerjasama bijak tersebut.

Hasilnya, dokumentari mereka mempunyai mutu dan kualiti bertaraf antarabangsa dan mempunyai nilai akademik dan keilmuan yang tinggi.

Bukan sekadar budaya baru yang diperkenalkan, malah pihak penerbit melalui penerbitnya, Hisham Abdullah cuba membawa konsep mempromosikan idea dan kesan rekaan ilmuwan Islam terdahulu kepada zaman moden.

Berbanding konsep menceritakan biografi ilmuwan silam yang kebanyakannya bersikap fakta yang membosankan, Ilmuwan Islam tahun 2011 membawa kesan idea dan rekaan para ilmuwan Muslim terdahulu di dalam kehidupan manusia di zaman ini.

Untuk tujuan tersebut, idea dan karya tujuh Ilmuwan Muslim silam dipilih. Sepanjang lapan episod dokumentari yang disiarkan setiap Jumaat pada pukul 6.30 petang, penonton dibawa berkenalan dengan Al-Jazari melalui konsep kejuruteraan mekanikal melalui menara jam gajah, di mana replikanya boleh didapati di British Museum dan juga di dalam Ibn Batuta Mall di Dubai.

Demikian juga al-Kindi dan al-Farabi sebagai pencipta nota muzik telah dipilih untuk melihat konsep terapi muzik yang mereka hasilkan dan juga pengunaannya sepanjang zaman dulu dan kini. Juga Ibn Khaldun dan juga teori Division of Labour' dan kesannya kepada ekonomi pasaran-bebas masa kini dan juga Banu Musa tiga beradik dan juga tekonologi 'automata' yang merupakan konsep primitif kepada tekonolgi robotik moden.

Selain pendekatan isi kandungan yang menongkah arus itu, pihak penerbit juga melakukan revolusi di dalam dunia dokumentari Islam dengan mengambil pengkaji dan perunding siri tersebut sendiri, Dr. Maszlee sebagai hos dokumentari.

Berbanding tugas penyampai dokumentari Islam yang berbentuk stereotaip, beliau cuba memperkenalkan konsep baru di dalam penghasilan dan penyampaian dokumentari.

Caranya, membawa para penonton bersama menyelami falsafah dan makna-makna tersirat di sebalik perjalanan beliau menerokai Ilmuwan Muslim-Ilmuwan Muslim yang agung itu dengan membawanya ke kerangka kehidupan seharian mereka.

Maka, bukan hanya sekadar penyampaian terhadap maklumat dan fakta yang tersedia, Dr. Maszlee cuba meletakkan para penonton sebagai penilai, pengamat dan juga pengkritik sumbangan dan idea ilmuwan yang diperbincangkan.

Menyelami

Pelbagai aspek pendidikan, budaya, politik, ekonomi, keagamaan, sikap, psikologi, sosiologi dan juga motivasi dipersembahkan di dalam keadaan para penonton berfikir, bersikap kritis dan menyelami idea-idea yang dipersembahkan melalui 'perjalanan' ilmu para ilmuwan tersohor yang dibincangkan merentasi kurun-kurun yang lampau.

Objektif utama yang cuba diperkenalkan oleh Dr. Maszlee melalui lapan episod tersebut adalah 'mencari makna kehidupan para penonton melalui perjalanan ilmuwan silam dan idea mereka yang kekal sehingga kini'.

Lebih menarik, demi membawa para penonton berkenalan dengan idea-idea hebat ilmuwan silam yang dibincangkan lebih intensif, Dr. Maszlee membawa para penonton menemui cendekiawan hebat antarabangsa, di kalangan Muslim dan bukan Muslim untuk memahaminya.

Tokoh falsafah Muslim di Eropah, Prof. Tariq Ramadan dari Universiti Oxford, tokoh perbankan Islam di United Kingdom, Prof. Rodney Wilson dan Dr. Mehmet Asutay, ahli Royal Society dan juga pengarah pusat kajian sains dan tamadun Islam yang berprestij, The Foundation for Science Technology and Civilisation (FSTC), Prof. Selim Husseini, pakar perubatan Osmaniyyah dan juga muzik terapi Prof. Nil Sari adalah di antara tokoh yang diwawancara sepanjang lapan episod Ilmuwan Islam tahun 2011.

Konsep profesionalisme dan juga usaha mencapai standard dokumentari bertaraf antarabangsa selari dengan BBC dan National Geographic menjadi tema penerbitan dokumentari Ilmuwan Islam musim ini. Pendek kata, para penonton seolah-oleh menyaksikan rancangan dokumentari yang dihasilkan oleh penerbit luar negara yang ditayangkan tanpa sebarang stereotaip dan norma-norma kebiasaan.

Apa yang lebih menarik, konsep participant-observant yang dibawa oleh penerbit Ilmuwan Islam kali ini yang dihayati oleh penyampaian luar kebiasaan oleh pengkaji dan penyampainya membawa para penonton menyelami sejarah silam tanpa meninggalkan realiti moden mereka.

Banyak tempat-tempat yang dipaparkan sepanjang 'perjalanan' Dr. Maszlee bersama penonton untuk mereka mengutip makna-makna kehidupan untuk diaplikasikan.

Ini termasuklah, hospital muzik terapi di Edirne Turki, muzium perubatan Uthmaniyyah di Universiti Istanbul, Ibn Batuta Mall di Dubai, ladang ternakan unta di padang pasir di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu, Royal Society di London, Picardlly Garden di Manchester, padang ragut biri-biri dan juga gereja kuno (Cathedral) berusia lebih 1000 tahun di Durham University, England, pusat mandian umum (Hamam) dan saliran air Aqueduct di Istanbul dan pusat pemulihan muzik terapi di Yalova.

Pendek kata, dokumentari Ilmuwan Islam 2011 yang bermula 4 November lalu adalah gabungan di antara beberapa teknik.

Iaitu teknik penyampaian hos dokumentari terkenal Tim Mackintosh Smith dan Datuk Bandar London, Boris Johnson di BBC, konsep penyelidikan dan misteri novel Da Vinci Code karya Dan Brown, Thriller filem National Treasure lakonan Nicholas Cage, konsep falsafah kehidupan dan perjalanan ala novel Alchemist' oleh Paulo Coelho dan novel The Little Prince (Le Petit Prince) karya Antoine de Saint-Exupéry, dan juga sikap pengamatan kritis Ibn Khaldun lewat karya agungnya al-Muqadimmah.

Kesimpulannya, inilah dokumentari Islam pertama di Malaysia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url