Top Ad 728x90

UNICEF Kenal Pasti 53 Bentuk Diskriminasi Sesama Kanak-Kanak

MENYEDARI kanak-kanak perlu mengetahui terdapat hak orang lain di sekeliling mereka yang perlu dihormati, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah mengangkat tema ‘Memupuk Rasa Hormat’ (Teach respect) sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2011 yang disambut pada 20 November 2011.

“Kanak-kanak perlu faham bahawa mereka juga perlu menghormati kanak-kanak lain.

“Memberi gelaran, mengajuk menggunakan mimik muka dan menyisihkan kanak-kanak lain kerana terdapat sesuatu perbezaan, perbuatan ini dilihat akan memberi refleksi dalam proses pembesaran kanak-kanak terbabit dan kanak-kanak itu sendiri,” kata wakil UNICEF ke Malaysia, Hans Olsen kepada Mingguan mStar.

Olsen berkata, sikap tidak menghormati kanak-kanak lain berkemungkinan besar akan berakhir dengan diskriminasi atau sifat prejudis terhadap orang lain pada masa akan datang.

Tambahnya, sikap prejudis juga boleh berlaku kerana pengaruh kehidupan dan melalui golongan prejudis sedia ada.

“Pandangan kanak-kanak dipengaruhi oleh pemikiran, tindakan dan percakapan orang sekeliling mereka.

“Dalam hal ini, walaupun ibu bapa mereka menjadi contoh yang baik, anak-anak mereka masih terdedah dengan golongan yang tidak tahu menghormati orang lain,” katanya.

Menurut Olsen, terdapat banyak situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini yang menggambarkan diskriminasi dan tiadanya sikap hormat-menghormati.

Enggan bergaul dengan golongan yang menghidap HIV, pendatang asing dan pelarian misalnya sudah menjadi salah satu senario biasa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Kanak-kanak mungkin terdengar individu atau sekumpulan orang dewasa mempersendakan orang miskin atau komuniti orang Asli lalu melakukan perkara yang sama kepada orang lain.

“Ini kerana mereka melihat perbuatan seperti itu popular di kalangan orang dewasa dan berlaku di mana-mana. Akhirnya mereka menganggap perbuatan itu tidak salah,” ujarnya.

Olsen berkata, sehingga kini UNICEF telah mengenal pasti 53 bentuk diskriminasi yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak.

Bentuk diskriminasi tersebut termasuklah perbezaan jantina, bangsa, keupayaan, latar keluarga dan pendapatan, kedudukan geografi, kewarganegaraan dan status HIV.

Jelasnya, diskriminasi di kalangan kanak-kanak biasanya bermula dengan mempersendakan kanak-kanak lain dan tidak mengajak mereka bermain atau menyertai aktiviti bersama-sama dan lama-kelamaan membawa kepada tindakan yang lebih ganas seperti buli, penderaaan dan sebagainya.

Kanak-kanak tak faham tentang diskriminasi

Dalam pada itu, Olsen turut mengakui adalah sangat sukar untuk kanak-kanak memahami tentang diskriminasi, prejudis dan hormat-menghormati jika tidak diterangkan oleh orang dewasa.

“Kanak-kanak perlu diberi peluang untuk faham tentang keperluan mempertahankan hak seorang manusia dengan mengaplikasikannya terhadap kanak-kanak lain atau rakan sebaya.

“Orang dewasa termasuklah ibu bapa, guru dan masyarakat perlulah memupuk kesedaran kanak-kanak dalam hal ini,” katanya.

Olsen berkata, sebagai orang dewasa penting untuk mereka mendidik kanak-kanak supaya lebih peka dan sensitif terhadap perasaan orang lain, bukan sahaja perasaan orang yang lebih tua daripada mereka tetapi juga golongan kanak-kanak.

Tambahnya, kanak-kanak juga perlu diberitahu bahawa sebarang bentuk prejudis dan diskriminasi adalah tidak adil.

“Cuba galakkan mereka berubah ke arah lebih positif. Beri mereka contoh bagaimana untuk bertindak balas jika mereka menjadi mangsa diskriminasi atau melihatnya berlaku di depan mata,” ujarnya.

Mempersendakan rakan bukan perkara biasa

Kebiasaannya, kanak-kanak yang mempunyai imej tidak baik lebih terdedah untuk mempunyai prasangka tidak baik terhadap kanak-kanak lain.

Kelompok kanak-kanak ini mungkin akan cuba memperkukuhkan nilai diri mereka dengan mencari kumpulan kanak-kanak lain yang boleh dipersenda atau dijatuhkan.

“Mereka akan menganggap perbuatan tersebut mungkin tidak baik, tetapi sekurang-kurangnya diri mereka adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang dipermainkan itu.

“Bagi sesetengah kanak-kanak pula, dengan bertindak sebegitu mereka akan berasa diri mereka lebih penting dan berkuasa, berbeza dengan kanak-kanak lain,” katanya.

Olsen berkata, jika sikap dan tanggapan seperti ini dipandang remeh, kanak-kanak akan berterusan menganggap perbuatan menghina atau merendah-rendahkan kanak-kanak lain merupakan lumrah kehidupan.

“Mereka juga akan merasakan bahawa kanak-kanak yang didiskriminasi berhak mendapat layan sedemikian kerana taraf mereka yang rendah dan mempunyai kelemahan.

“Sebab itulah pentingnya kita membangkitkan isu ini kerana ketidaksamaan berlaku di mana-mana selain mahu memberitahu kanak-kanak terdapat idea dan tindakan yang tidak boleh diterima dalam sesebuah negara atau masyarakat,” katanya.

Kempen Pupuk Rasa Hormat Sempena Hari Kanak-Kanak 2011

SEMPENA Hari Kanak-Kanak Sedunia 2011 juga, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) mengadakan kempen bagi memupuk rasa hormat sesama kanak-kanak.

Wakil UNICEF ke Malaysia, Hans Olsen berkata, kempen berbentuk hebahan pesanan khidmat masyarakat (PSA) itu adalah selari dengan tema Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini iaitu ‘Pupuk Rasa Hormat’ (Teach Respect).

“Sebanyak dua jenis hebahan format video selama 30 saat telah disediakan untuk kempen ini dan boleh ditonton melalui dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Olsen yang ditemui ketika previu video tersebut kepada pihak media berkata, kempen tersebut dilaksanakan agar ibu bapa, guru dan golongan dewasa dalam masyarakat dapat mendidik anak-anak tentang hormat-menghormati melalui pelajaran dan contoh.

Katanya, bagi merealisasikan kempen ini UNICEF telah mengadakan kerjasama dengan Story Me Studios yang menghasilkan ilustrasi bagaimana kanak-kanak didiskriminasi oleh kanak-kanak lain.

Menerusi dua video ini, masyarakat akan dipertontonkan dengan dua situasi.

“Satu situasi memperlihatkan bagaimana seorang kanak-kanak secara terang-terangan memberitahu gurunya bahawa dia tidak mahu duduk di sebelah rakan sekelas yang menghidap HIV.

“Manakala satu situasi lagi menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki meniru gaya seorang rakannya berjalan menggunakan tongkat,” jelasnya.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90